KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes melibatkan Hydroshoppe Sdn Bhd dan pengarahnya berhubung dakwaan tawaran RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi manfaat Tan Sri Annuar Musa berkaitan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Hydroshoppe dan pengarahnya Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
“Saya berpandangan pada peringkat ini, terlalu awal untuk menyatakan pertuduhan berganda dan juga masih terlalu awal untuk menyatakan terdapat potensi risiko berganda kerana ia melibatkan dua kesalahan berbeza.
“Bagaimanapun, saya mendapati terdapat merit pada kesukaran luar biasa yang memerlukan ia didengar oleh mahkamah ini. Oleh itu, permohonan memindahkan kes dibenarkan,” katanya.
Dalam penghakiman ringkasnya, Noor Ruwena berkata permohonan itu mempunyai merit selepas mahkamah berpuas hati dengan hujahan pemohon terdapat isu undang-undang yang boleh menimbulkan kesukaran luar biasa jika perbicaraan didengar di Mahkamah Sesyen.
“Meskipun kedua-duanya (pengarah dan syarikat) adalah entiti berbeza, mahkamah perlu melihat bagaimana perbicaraan kes itu akan dijalankan pada masa akan datang.
“Memandangkan fakta kes dan saksi pendakwaan berkemungkinan besar terdiri daripada individu yang sama, wajar perbicaraan dijalankan secara bersama-sama dan mahkamah menggunakan bidang kuasanya di bawah Kanun Tatacara Jenayah supaya kedua-dua kes dibicarakan dan didengar bersama,” katanya.
Noor Ruwena berkata tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.
Pada 15 Mei, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Hydroshoppe dan Abdul Hamid Shaikh berhujah pertuduhan itu membabitkan dua pihak iaitu terhadap Abdul Hamid Shaikh sebagai individu di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan syarikat mengikut Seksyen 17A(1)(a) akta sama.
Menurut beliau, walaupun pertuduhan itu berasingan, kedua-duanya berasaskan dakwaan sama sekali gus menimbulkan kebimbangan berkaitan isu self-incrimination serta kemungkinan didakwa dua kali bagi kesalahan sama atau double jeopardy.
Beliau juga berkata pertuduhan dalam kedua-dua prosiding turut menimbulkan persoalan undang-undang yang rumit, khususnya berkaitan dakwaan pelanggaran Perkara 5, 7 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berkata isu double jeopardy tidak timbul kerana pertuduhan itu melibatkan pihak yang berbeza, iaitu Abdul Hamid Shaikh di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 manakala Hydroshoppe pula didakwa mengikut Seksyen 17A akta sama.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid, 52, didakwa menawarkan rasuah melalui Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia supaya mempercepat pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.
Pertuduhan terhadap Abdul Hamid Shaikh dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Hydroshoppe turut didakwa mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagai sebuah organisasi komersial kerana secara bersama-sama menawarkan suapan kepada Tan bagi manfaat Annuar di lokasi dan tarikh yang sama.
Jika sabit kesalahan, syarikat itu berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM1 juta atau 10 kali nilai suapan mengikut yang mana lebih tinggi.
-- BERNAMA