Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mempercepatkan proses menyahjenayahkan ketagihan dadah.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, menerusi jawatankuasa yang dianggotai kementeriannya dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ismail Bakar, ia akan memastikan isu yang membelenggu anak muda di negara ini dapat diselesaikan dengan segera.
Ujarnya, isu ini menjadi kebimbangan utama buat kementeriannya apabila statistik penagihan dadah melibatkan remaja tahun lalu ialah 18,967 - tiga kali ganda lebih tinggi berbanding golongan dewasa, 6,300 orang.
“Sebab itu kita akan terus memperjuangkan isu ini iaitu menyahjenayah penagihan dadah di mana jalan ke hadapan adalah kepada usaha rehabilitiasi dan bukan kategorikan individu ini sebagai jenayah.
“Penagih bukan penjayah dan jalan kehadapan adalah jalan pemulihan dan bukan klasifikasi sebagai penjenayah. Cukuplah anak muda di mana hidup mereka dibinasakan kerana pengaruh dadah.
“Lebih teruk bukan sahaja isu penagihan dadah, malah apabila mereka merupakan penagih lalu mereka dihukum, masuk penjara, ada rekod jenayah, tidak dapat pekerjaaan, tak ada tempat dalam masyarakat, diasingkan, didiskriminasi dan akhirnya mereka kembali semula terjerumus dengan masalah dadah. Jadi lebih baik membantu daripada menghukum,” tegasnya dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Jelasnya, jawatankuasa utama dalam pelaksanaan menyahjenayahkan penagihan dadah masih diketuai Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun beliau menerusi KBS akan memfokuskan kepada golongan muda selain mempercepatkan pelaksanaannya.
Ditanya berkenaan langkah seterusnya oleh jawatankuasa itu, Syed Saddiq tidak menetapkan satu jangka masa pindaan kepada undang-undang sedia ada, sebaliknya berharap ia dilakukan sesegera mungkin.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata masalah penagihan dadah perlu dilihat dari sudut kesihatan sosial dan bukan ditangani melalui sistem pengadilan jenayah.
Ujarnya, kerajaan perlu mengkaji semula beberapa seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membetulkan pendekatan hukuman sedia ada selain penguatkuasaan perlu menumpukan pada masalah bekalan dadah serta tidak menghukum penagih.