Kerajaan perkukuh penguatkuasaan e-waste melalui pendekatan keseluruhan negara - KSN

Shamsul Azri (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Bilangan 1 Tahun 2026 di INTAN hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan sisa elektronik (e-waste) khususnya di pintu masuk utama negara melalui pendekatan keseluruhan negara yang menggabungkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri.
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan akan memperkukuh penguatkuasaan untuk membanteras penyeludupan sisa elektronik (e-waste) melalui kerjasama strategik dengan kerajaan negeri.
- Pendekatan keseluruhan negara diperlukan bagi pemerkasaan penguatkuasaan jenayah ekonomi rentas sempadan di pelabuhan dan pihak berkuasa tempatan.
- Langkah penguatkuasaan termasuk mengumpul data premis dilesenkan, meneliti semula Akta Peniaga Sekendhend 1946, dan mengambil tindakan terhadap kontena yang mengandungi e-waste serta bahan berkaitan.
"Dengan menggunakan pendekatan keseluruhan negara, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat perlu (bagi memastikan penguatkuasaan ini dapat berjalan lancar dan berkesan)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri (JPPN) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Shamsul Azri berkata Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri telah memulakan langkah mengumpulkan data daripada PBT berhubung jumlah premis berkaitan yang telah dilesenkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap premis yang melanggar peraturan.
"Saya mulakan di Selangor dulu. Arahan telah diberikan supaya mengeluarkan profiling premis besi buruk di Selangor untuk kita tengok data itu. Lesen keluar berapa banyak, lesen mati dan daripada situ nanti kita akan ambil tindakan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata Kabinet telah mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk meneliti semula Akta Peniaga Sekendhend 1946 bagi memperkemaskan peruntukan undang-undang sedia ada serta menutup ruang ketirisan.
Beliau berkata sebanyak 61 kontena telah diperiksa dalam tempoh 27 hingga 30 Jan 2026 susulan pengoperasian awal AKPS di Pelabuhan Klang dan sebahagiannya dikenal pasti mengandungi barangan bermasalah termasuk e-waste serta bahan berkaitan.
"Daripada jumlah rampasan tersebut, hampir 200 tan merupakan e-waste dan sisa berkaitan manakala lebih 80 tan melibatkan bahan kuprum yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
"Berdasarkan anggaran nilai pasaran konservatif, keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai antara RM2.2 hingga RM3.2 juta tidak termasuk kehilangan hasil negara melalui pengelakan duti dan cukai, kos pelupusan serta risiko pengubahan wang haram," katanya.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, AKPS akan bergerak selari dengan hala tuju yang ditetapkan kerajaan bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara lebih strategik dan menyeluruh.
"Semua maklumat yang diperoleh hasil pemantauan di sempadan akan dikongsikan dengan pihak PBT bagi membolehkan tindakan lebih komprehensif diambil," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


