MALAYSIA
Kerajaan perkukuh zon ekonomi, seimbangkan pembangunan antara wilayah - Amir Hamzah

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus mempergiat usaha menarik pelaburan ke zon ekonomi khusus untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ringkasan AI
- Kerajaan melalui RMK13 tumpu tarik pelaburan ke zon ekonomi khas di utara, pantai timur dan Johor-Singapura bagi tingkat daya saing serta peluang pekerjaan.
- Sektor utama termasuk E&E, getah, makanan, pertanian, halal, perikanan, perkapalan serta tenaga boleh baharu dan hidrogen di Sabah dan Sarawak.
- Komitmen pelaburan awal JS-SEZ capai RM1.34 bilion, dengan sasaran 20,000 pekerjaan berpendapatan tinggi di Johor.
"Kedudukan Kedah dan Perlis yang bersempadan dengan Thailand akan meningkatkan peranan negeri di utara Semenanjung sebagai hab ketersambungan serantau.
"Dengan adanya Pelabuhan Darat Perlis, serta kemudahan pergerakan kargo dan sumber yang lebih mudah, Malaysia mempunyai kelebihan untuk menjadi pemangkin pembangunan di peringkat subserantau," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata bagi negeri di pantai timur, Pahang, Kelantan dan Terengganu, kerajaan meletakkan sasaran untuk menjadikannya sebagai antara jajaran pengeluaran makanan utama negara.
"Pengoperasian ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) yang dijangkakan bermula dalam tempoh awal RMK13, membuka peluang besar kepada penduduk di sepanjang jajaran ini untuk mewujudkan aktiviti ekonomi baharu, terutama berasaskan pertanian, pengeluaran makanan dan industri halal," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan zon pembangunan berasaskan transit sejajar dengan strategi yang ditetapkan mengikut RMK13.
Negeri-negeri itu juga mempunyai potensi yang besar dalam ekonomi biru terutama perikanan dan perkapalan yang akan dirancakkan lagi dalam tempoh RMK13, katanya.
Selain itu, beliau berkata pada masa ini, rangka tindakan terperinci pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sedang dibangunkan.
"Setakat ini, JS-SEZ telah berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai RM1.34 bilion dengan tambahan minat pelaburan bernilai RM78 juta yang masih dalam fasa rundingan, melibatkan 70 syarikat dari Singapura, China, Jerman, United Kingdom, Belanda serta pelabur tempatan," katanya.
Amir Hamzah juga berkata melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), sebanyak 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bakal diwujudkan melalui kerjasama langsung antara pelabur, syarikat, enam universiti serta 15 pusat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) terpilih di Johor," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Sabah dan Sarawak akan terus diberi tumpuan dalam usaha untuk mencapai keseimbangan pembangunan yang lebih terangkum.
"Sabah telah dikenal pasti sebagai hab ekonomi biru seperti perkapalan, perikanan dan pelancongan pantai, manakala antara inisiatif utama di Sarawak ialah pembangunan hab tenaga berasaskan kuasa hidro dan teknologi hidrogen dan penekanan kepada pelaburan dalam tenaga boleh baharu lain.
"Pembangunan industri CCUS (pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon) juga turut diberikan keutamaan untuk Sarawak. Usaha ini akan menarik pelaburan berimpak tinggi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta pembangunan teknologi bersih demi manfaat rakyat Sabah dan Sarawak," katanya,
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami