KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan bertindak segera untuk meningkatkan daya saing serta produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyampaian perkhidmatan awam dan tadbir urus menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 24 Feb ini.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata Belanjawan 2023 yang disemak semula perlu memberi tumpuan kepada bidang berkenaan demi ekonomi negara dan dinamisme perniagaan.

"Sebagai contoh, untuk menggalakkan pelaburan domestik, kami mencadangkan kerajaan menyokong produk buatan Malaysia dalam perolehan kerajaan dan pengenalan rebat cukai khas bagi projek yang menggunakan produk buatan tempatan," katanya dalam video ulasan pra-Belanjawan 2023 FMM yang dikeluarkan pada Sabtu.

Memandangkan perolehan kerajaan merupakan salah satu pembelian terbesar produk domestik, ini boleh merancakkan industri kerana pengeluar akan bersedia untuk melabur lebih banyak apabila mereka yakin bahawa kerajaan akan membeli produk mereka, kata Soh.

"Adakah kerajaan akan meneliti akta perolehan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan membeli produk buatan tempatan?" soalnya.

Beliau dalam menyeru sokongan yang lebih besar kepada PKS berkata kerajaan perlu mempertimbangkan bagi menurunkan cukai korporat supaya mereka boleh mengaut keuntungan dalam pelaburan selanjutnya.

"Kami berharap kadar cukai tersebut antara 13 hingga 15 peratus," katanya.

Soh juga berharap kerajaan akan memperuntukkan dana yang mencukupi untuk PKS, sambil menjelaskan bahawa mereka menyumbang hampir 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

"PKS memainkan peranan penting dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan industri. Walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan apabila kita menghadapi banyak kekangan logistik global termasuk konflik Ukraine-Rusia, ekonomi masih boleh berfungsi dengan lancar dengan makanan yang mencukupi di atas meja serta barangan dihantar tepat pada masanya.

"Kredit itu perlu diberikan kepada syarikat tempatan. PKS tempatan kita, melalui keupayaan dan ketangkasan mereka, adalah tulang belakang di sebalik daya tahan (ekonomi) negara," katanya.

Oleh itu, kerajaan sewajarnya tidak perlu terlalu fokus kepada pelaburan langsung asing tetapi perlu seimbang dalam tumpuan ke atas pelaburan langsung domestik, katanya.

Menurut beliau, tahap pelaburan domestik telah menurun sejak lima tahun lalu.

"Sesetengah pengeluar tempatan merasakan terdapat terlalu banyak pita merah, menjadikan mereka tidak yakin untuk melabur dalam produk baharu," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan harus menyediakan syarat dan insentif yang tepat bagi memastikan mereka akan terus melabur.

-- BERNAMA