KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih fokus dan mengutamakan usaha dalam meningkatkan kemampanan sektor kritikal khususnya bagi mendepani cabaran krisis ekonomi global yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan memberi tumpuan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan melindungi sektor tersebut.

“Ia selain itu turut memastikan perlindungan diberikan kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan penggerak utama ekonomi Malaysia serta industri komoditi agar lebih bersifat rintang krisis.

“Tidak terkecuali penekanan harus diberikan kepada usaha menjana portfolio pelancongan negara menerusi pelaksanaan strategi promosi yang lebih inovasi dan menumpukan pasaran bersasar serta rintang kemelesetan.

“Ini merupakan antara beberapa cadangan yang perlu diperincikan, dikaji permasalahannya bagi mendapatkan penyelesaian yang tepat,” katanya dalam satu sesi soal jawab di sini pada Jumaat.

Cadangan MPN | Kerajaan perlu lebih fokus, tingkat kemampanan sektor kritikal

Menurut Muhyiddin, ekonomi global yang bergerak perlahan ketika tempoh pertumbuhan yang lemah pasca pandemik COVID-19 ketika ini bakal memberi impak besar kepada kesihatan ekonomi Malaysia.

“Kita mengamalkan ekonomi terbuka, justeru itu pertumbuhan global yang perlahan memberi impak signifikan terhadap penyusutan permintaan terhadap eksport negara. Situasi ini sekali gus menyebabkan pelabur lari ke pasaran-pasaran membangun.

“Ia turut akan menyebabkan kelemahan ringgit… perkara ini akan memberi kesan terhadap penyusutan eksport. Dalam keadaan global yang perlahan, ia akan menjejaskan jumlah permintaan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara tersebut antara lain akan menyebabkan banyak syarikat bertindak mengecilkan perniagaan dan mengurangkan pengambilan pekerja.

Misalnya sektor pelancongan, ia akan menjejaskan jumlah kemasukan pelancong asing yang ingin datang ke Malaysia bagi tujuan bercuti sekiranya berlaku kemerosotan ekonomi dalam pasaran.

Untuk rekod, nilai ringgit jatuh setelah urusniaga ditutup pada 6 petang semalam (3 November 2022), kali ini ke paras terendah dalam sejarah apabila mencatat 4.7425 berbanding dolar Amerika Syarikat.