Kerajaan perlu bertindak tegas dalam membendung penyebaran ajaran sesat Pertubuhan Al Arqam yang diharamkan sejak 1994 dikesan kembali aktif di negara ini.

Pesuruhjaya Pas Terengganu,Mohd Abdul Wahid Endut berkata dalam usaha memeranginya,sentimen politik kepartian perlu diketepikan demi memelihara akidah umat Islam di negara ini yang mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah .

Menurutnya, Pas sebagai parti yang memperjuangkan agama Islam sedia bekerjasama bagi menghapuskan ancaman besar terhadap masyarakat Islam di negara ini.

“Apa juga yang menyeleweng dari akidah ahli sunnah wal jamaah, kita kena ambil tindakan awal demi membendung perkara ini dari merebak. Tidak kira samada yang Arqam atau yang berajaran Syiah kerana bila dah bertapak ianya akan menimbulkan masalah.

Sementara itu,Presiden Pas,Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Majlis Fatwa telah memutuskan pertubuhan Al Arqam sebagai haram dan ia seharusnya disusuli dengan tindakan tegas.

Dalam pada itu,Menteri Besar Terengganu,Datuk Seri Ahmad Said berkata kerjasama semua pihak perlu dalam usaha mengawal fahaman kumpulan berkenaan dari terus menular.

ia sejajar titah sultan mizan yang mahukan umat islam meningkatkan perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan.

Pada masa ini,Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri bertindak memantau lapan puluh satu rumah amal di bawah Global Ikhwan Sdn Bhd GISB yang dipercayai menjadi sumber dana bagi pergerakan itu.

Pada 12 mei lalu, balu pengasas pertubuhan yang diharamkan pada 1994, Al-Arqam, Hatijah Aam atau Ummu Jah bersama 75 orang kumpulan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) ditahan secara berperingkat oleh Jais selepas dihantar pulang kerajaan Arab Saudi kerana didakwa mengembangkan ajaran sesat Al-Arqam.

Beliau dituduh memimpin, menyebar dan menghidupkan semula ajaran sesat pertubuhan itu dan bakal didakwa mengikut Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah 1995 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, Selangor 22 November depan.