KUALA LUMPUR: Kabinet disaran untuk mengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) bagi menyediakan Kertas Hijau berhubung Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA).

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, tidak seperti Kertas Putih, konsep Kertas Hijau adalah bagi memudahcara perbahasan di kalangan masyarakat, dengan menyediakan maklumat berkaitan.

Tambah beliau lagi, ia juga tidak memerlukan komitmen daripada Kerajaan untuk sebarang cadangan yang timbul daripada perbincangan tersebut.

Untuk rekod, konvensyen negara-negara Komanwel membolehkan penerbitan Kertas Hijau oleh Kerajaan adalah bagi tujuan pengumpulan pendapat umum, sebelum Kertas Putih diterbitkan bagi tujuan pengumuman dan pelaksanaan akhir.

“Kertas Hijau mempunyai dua kelebihan penting berbanding kajian komprehensif yang akan menjurus kepada kedudukan Kerajaan: pertama, ia adalah jemputan terbuka kepada semua segmen masyarakat untuk berbahas secara bermaklumat dan berfakta.

“Kedua, ia dapat mengelak daripada penangguhan yang lama, yang dikhuatiri membenarkan situasi penyebaran maklumat tidak tepat,” katanya lagi.

Beberapa pihak sebelum ini, termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengulangi pandangan bahawa FTPA diperlukan bagi memastikan penggal Parlimen kekal sehingga habis tempoh, iaitu 18 Disember, 2027.

Namun beberapa pihak lain pula menganggap pengenalan akta itu akan mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen, sekiranya dimohon Perdana Menteri, seperti yang termaktub dalam Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada pandangan tersebut, Wilfred dalam kenyataannya selanjutnya berkata, ia merupakan antara maklumat tak tepat yang tersebar tentang pengenalan FTPA, yang dakwanya, wujud akibat pemahaman terhad, atau kecenderungan terhadap ideologi tertentu.

Satu lagi maklumat tidak tepat, tambahnya lagi, ialah pengenalan FTPA akan mewujudkan semula sistem gabungan politik hegemoni seperti Barisan Nasional, yang berkemungkinan akan mengakibatkan Sabah dan Sarawak hilang kuasa rundingan seperti yang dinikmati sejak 2018.

Justeru beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal di Sabah, yang telah menyaksikan dan mempunyai pengalaman tersendiri tentang pergolakan politik sejak Langkah Sheraton, beliau menggariskan tiga kelebihan yang terhasil daripada FTPA.

“Pertamanya FPTA mesti melibatkan pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengutamakan usul undi percaya dan tidak percaya. Jika ada tindakan daripada mana-mana Kerajaan Persekutuan di masa akan datang, yang akan menjejaskan kepentingan Sabah dan Sarawak, maka parti Borneo boleh menggerakakkan usaha menjatuhkan Kerajaan di Dewan Rakyat.

“Kedua, FTPA perlu menghalang usaha mengumpul atau mengira perakuan bersumpah oleh Ahli-ahli Parlimen. Permainan SD bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik nasional, tetapi juga parti-parti bersendirian dalam usaha menubuhkan Kerajaan.

“Ketiga, FTPA akan menghalang Perdana Menteri untuk mencadangkan pembubaran Parlimen sesuka hati. Ini bermaksud Perdana Menteri tidak boleh memohon untuk pembubaran awal, ketika parti Borneo seperti GPS dan GRS tidak mempunyai kelebihan daripada segi masa,” katanya lagi.