KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan memberi jaminan bahawa setiap keputusan dalam penyelesaian persempadanan maritim Malaysia dengan negara jiran yang dibuat dan dipersetujui, tidak akan menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan tidak pernah dan tidak akan sama sekali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan isu kedaulatan negara.

Beliau berkata langkah pemeteraian perjanjian persempadanan maritim hanya dipersetujui setelah mengambil kira elemen penyelesaian yang dicapai secara bersama dengan sesebuah negara berdasarkan prinsip pembatasan sempadan maritim dengan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh.

"Kerajaan tidak akan berganjak atau berkompromi dalam isu ini. Bagi menyelesaikan isu persempadanan Malaysia yang tertunggak bersama negara-negara lain, kerajaan kekal komited melaksanakan rundingan untuk menghasilkan penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

"Hal ini penting bagi memastikan bukan sahaja kedaulatan negara terjamin malah hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara tersebut juga kekal terpelihara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang bertanya mengenai senarai perjanjian persempadanan maritim yang telah ditandatangani kerajaan sehingga kini serta tindakan susulan yang diambil.

Mengulas lanjut Mohamad berkata setakat ini kerajaan telah menandatangani sembilan perjanjian persempadanan maritim dengan pelbagai negara jiran dan terbaharu dua triti persempadanan maritim bersama Indonesia berjaya dimeterai.

Ia melibatkan triti antara Malaysia dengan Indonesia yang berkaitan dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka (Triti Selat Melaka) dan triti antara Malaysia dengan Indonesia yang berhubungan dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Laut Sulawesi (Triti Laut Sulawesi).

"Kedua-dua triti ini telah ditandatangani pada 8 Jun 2023 di Seri Perdana, Putrajaya dan kesemua perjanjian atau triti ini sedang dikuatkuasakan dan dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA