PUTRAJAYA: Satu perjanjian gabungan akan ditandatangani semua parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.

Menurut Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, perjanjian gabungan itu bagi memastikan kerajaan yang tertubuh terus kukuh.

"Saya selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), kita telah adakan perbincangan tentang apa yang  dipanggil coalition agreement di kalangan kita, ia akan ditandatangani sedikit masa lagi.

"Semua pihak terbabit mendalami perkara-perkara yang telah dicatatkan, kita harap segala disempurnakan dalam masa terdekat," jelasnya.

Meskipun enggan mendedahkan kandungan perjanjian terbabit, namun jelas Zambry, beliau yakin ianya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Adalah amat penting perjanjian gabungan ini untuk semua parti politik bersama sebagai satu pasukan, ia amat penting.

"Kita perlu ambil berat mengenai perkara ini, perbincangan telah diadakan beberapa kali, ketika ini boleh saya katakan perjanjian itu sudah sampai ke draf terakhir.

"Bukan hanya melibatkan dua parti, tetapi lebih daripada dua, boleh jadi tiga atau empat. Tetapi semua parti akan mengambil bahagian untuk bersama," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Putra di sini pada Isnin.

Terdahulu, Zambry meluangkan masa lebih satu jam bersama warga Wisma Putra dalam Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Luar di Dewan Tuanku Abdul Rahman.