KUALA LUMPUR: Usaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan umatnya terus diperkasakan di bawah Kerajaan Perpaduan menerusi pelbagai agenda yang dirangka selaras Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Yusri Mohamad Ramli berkata, ia dibuktikan dengan kerjasama rapat Raja-Raja Melayu dan kerajaan dalam memelihara kepentingan umat Islam menerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Beliau berkata, MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mendapat pengawasan langsung oleh Majlis Raja-Raja, serta timbalan pengerusi merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat sebagai sebuah badan syura berwibawa dan berperlembagaan.

"Perkara ini menggambarkan kerjasama rapat Raja-Raja Melayu dan Kerajaan Perpaduan yang menjadi jantung rakyat dalam memelihara kepentingan umat Islam dan mengelak Islam daripada terus dipolitikkan mahupun diancam oleh mana-mana pihak.

"Kerjasama erat raja dan kerajaan ini merupakan perlambangan bahawa tingginya kedudukan Islam di negara ini sekali gus memberi keabsahan agama Islam sebagai agama rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan," katanya kepada Bernama.

Yusri berkata, komitmen kerajaan untuk membangunkan umat Islam juga dapat dilihat menerusi usaha mengarusperdanakan pendidikan tahfiz menerusi Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0, Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz dan peruntukan tambahan RM150 juta kepada sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau melihat dasar dan bantuan kewangan itu sebagai pelaburan masa depan bagi perkembangan pendidikan tahfiz di negara ini yang antara lain dapat memastikan pusat tahfiz beroperasi dengan baik dan mempunyai kemudahan lebih selesa buat pelajar.

"Sejak puluhan tahun sebelum ini pendidikan tahfiz sering dianggap 'kelas kedua' dan mengharapkan bantuan kewangan pelbagai pihak untuk menguruskan pengoperasian yang mana turut memberi impak kepada keselesaan dan keselamatan pelajar.

"Namun dengan tumpuan diberikan kerajaan, kini tahfiz dilihat sebagai pemacu untuk melahirkan lebih ramai pakar agama yang turut mempunyai kemahiran yang bersesuaian dengan tuntutan semasa sekali gus melahirkan ilmuan yang berpandukan Islam," katanya.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Muhammad Nur Manuty pula berkata, Kerajaan Perpaduan begitu cakna untuk menyebarkan pendidikan Islam dan Perdana Menteri sendiri menganjurkan banyak majlis ilmu termasuk menjemput ulama dan ilmuan tersohor di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk berkongsi pengetahuan Islam.

Malah kerajaan juga pernah menganjurkan program Selawat dan Munajat Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 15,000 orang pada awal tahun ini yang dilihat merapatkan hubungan antara rakyat, pemimpin dan ulama.

"Kesan program seumpama ini bukan sekadar menampakkan Islam sebagai simbol agama, malah menjadi pedoman yang boleh diikuti masyarakat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian yang mana ini tujuan utama sebagai umat Islam," katanya.

Muhammad Nur berkata, komitmen kerajaan dalam memartabatkan Islam juga diterjemahkan menerusi Belanjawan 2023 dengan memperuntukkan RM150 juta bagi menyelenggara sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar.

Katanya, kerajaan juga menaikkan elaun 35,000 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 menjadikan jumlah kepada RM1,100 dengan peruntukan RM40 juta, selain sumbangan khas RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir, dengan peruntukan lebih RM40 juta. - BERNAMA