Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Persekutuan sedia sokong penganjuran Perlumbaan Bot Laju Antarabangsa Sibu

PERLUMBAAN BOT LAJU ANTARABANGSA SIBU
Fadillah (depan, tiga, kanan) berkata Perlumbaan Bot Laju Antarabangsa Sibu bukan sahaja menghidupkan semula aktiviti di sungai, malah berpotensi mengembalikan Sibu ke peta sukan bot laju di peringkat Malaysia dan ASEAN. - Foto BERNAMA

SIBU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk terus menyokong penganjuran Perlumbaan Bot Laju Antarabangsa Sibu.

Beliau memuji kejayaan edisi kedua perlumbaan yang semakin mendapat sambutan menggalakkan itu, sambil menyifatkannya sebagai pencapaian membanggakan hasil kerjasama semua pihak terlibat.

Advertisement

Fadillah berkata kejayaan itu turut meletakkan cabaran kepada penganjur untuk mengekalkan dan meningkatkan pencapaian pada masa hadapan.

“Selagi saya memegang jawatan, saya akan terus membantu dan menyokong program ini kerana ia memberi impak positif kepada pembangunan sukan dan pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Perlumbaan Bot Laju Antarabangsa Sibu 2026 di sini semalam.

Fadillah berkata acara itu bukan sahaja menghidupkan semula aktiviti di sungai, malah berpotensi mengembalikan Sibu ke peta sukan bot laju di peringkat Malaysia dan ASEAN.

Beliau yang juga anak kelahiran Sibu berkata perlumbaan itu mempunyai nilai sejarah tersendiri kepada bandar berkenaan dan berpotensi diketengahkan sebagai acara tahunan utama selain regata bagi merancakkan sektor pelancongan tempatan.

Fadillah turut mencadangkan agar pembangunan infrastruktur di kawasan Pulau Li Hua Waterfront dipertingkatkan melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju, termasuk penyediaan kemudahan pontun serta pentas tetap.

Selain itu, beliau berkata edisi kali ini mencatat penyertaan 251 bot, sekali gus melakar rekod dalam Malaysian Book of Records sebagai jumlah penyertaan bot laju terbanyak bagi satu penganjuran.

Sementara itu, Residen Bahagian Sibu merangkap Pengerusi Divisional Tourism Task Group (DTTG) Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata penganjuran kali ini mendapat sokongan kewangan sebanyak RM300,000 daripada Fadillah serta RM150,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Beliau berkata sokongan itu penting memandangkan kos penganjuran bertaraf antarabangsa adalah tinggi dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

Abang Mohamad Porkan berkata pihaknya menyasarkan Sibu sebagai hab perlumbaan bot laju antarabangsa, selaras usaha memperkukuh kedudukan bandar itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan sungai, khususnya Sungai Rajang.

Beliau berkata tema “The Awakening of Mighty Rajang River” mencerminkan aspirasi menjadikan Sibu sebagai destinasi utama sukan air bertaraf antarabangsa di Sarawak.

Sepanjang tiga hari penganjuran yang berakhir hari ini, acara itu menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Acara berkenaan dianjurkan oleh DTTG Sibu dengan kerjasama Sibu Powerboat Association, melibatkan sembilan kategori perlumbaan merangkumi pelbagai jenis badan bot dan kelas enjin.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video