Kerajaan Persekutuan menanggung subsidi RM1 juta setiap bulan bagi kos penyelenggaran dan operasi perkhimatan bas RapidPenang, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang (MTPNg) Datuk Zainal Abidin Osman hari ini.

Katanya walaupun perkhidmatan bas itu tidak menguntungkan, kerajaan menerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) tetap meneruskannya demi kemudahan rakyat di Pulau Pinang.

"Walaupun terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1 juta setiap bulan bagi penyelenggaran bas, Prasarana anak syarikat Kementerian Kewangan sentiasa berusaha memberikan perkhimatan bas yang terbaik kepada penduduk negeri.

"Terbaharu mereka merancang membeli 200 buah bas baharu melibatkan kos RM130 juta menjelang tahun depan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat MTPNg bilangan 2/2013, di sini hari ini.

Katanya Prasarana juga merancang laluan baharu di sekitar George Town dan Seberang Perai.

Sementara itu, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Umno negeri berkata pihaknya kecewa dengan tindakan kerajaan negeri menggunakan tema berbeza dengan kerajaan persekutuan sempena sambutan kemerdekaan tahun ini.

"Tanah Tumpahnya Darahku merupakan tema kemerdekaan tahun 2013 tetapi kerajaan negeri menggunakan tema lain dan ini menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman baru-baru ini berkata kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk mengguna 'Budaya Bersih Merdekakan Rakyat' sebagai tema hari kemerdekaan yang bakal disambut 31 Ogos ini.