ALOR SETAR: Kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian vaksin COVID-19 kepada individu atau kumpulan remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pertimbangan itu akan diputuskan selepas memperoleh data ujian klinikal daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Pfizer, syarikat berkenaan difahamkan akan menghantar maklumat dan perolehan ujian klinikal yang dijalankan dalam kalangan usia 18 tahun ke bawah kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) di Amerika Syarikat.

Syarikat itu kemudiannya, kata beliau, akan mengemukakan maklumat ujian berkenaan kepada Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) sebelum sebarang keputusan khususnya mengenai kebenaran penggunaan bagi individu dalam kumpulan usia berkenaan dapat diputuskan.

"Pfizer maklumkan kepada kita bahawa mereka akan hantar maklumat ujian klinikal yang sedang dijalankan pada usia 12 hingga 17 tahun ke pihak FDA di Amerika syarikat dalam masa terdekat dan mereka akan kemukakan maklumat tersebut kepada NPRA.

"Kalau dipersetujui, maka kita boleh beri kepada golongan penerima (berusia) 12 hingga 17 (tahun) yang sebelum ini kita hanya hadkan kepada 18 tahun.

"Pfizer baru sahaja peroleh data terkini daripada (ujian) klinikal (trial) yang dibuat (ke atas kumpulan) remaja, kalau kita nampak vaksin ini selamat untuk golongan remaja, kita akan include (untuk) golongan remaja,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut memaklumkan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mendapatkan senarai guru di seluruh Malaysia bagi proses penerimaan vaksin fasa ke-2.

"Guru-guru pun saya sudah minta disenaraikan dalam fasa kedua ini, jadi saya sudah minta KPM senarai guru, setakat ini kita sudah dapat 460,116 guru daripada sektor pendidikan awam dan swasta yang berdaftar dan (kesemua) mereka akan diberi janji temu pada fasa kedua nanti," jelas beliau.