KUCHING: Kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem pembinaan modular sebagai pendekatan masa depan bagi mempercepat pelaksanaan projek khususnya infrastruktur pendidikan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Sistem Pratuang Modular (MPS) sedang diperkenal dan dilihat berpotensi besar dalam industri pembinaan negara.
Advertisement
Beliau berkata bagaimanapun, penggunaan MPS ketika ini masih di peringkat kajian dan percubaan.
“Sistem itu membolehkan struktur bangunan disiapkan lebih awal di kilang sebelum dipasang di tapak seperti konsep penyambungan modul.
“Contohnya macam bilik darjah… disambung-sambungkan, kalau ada enam, jadi enam bilik darjah... tiga hingga empat bulan sudah siap,” katanya selepas meninjau projek pembinaan Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan Kuching di sini hari ini.
Ahmad berkata pendekatan itu mampu mempercepat pembinaan berbanding kaedah konvensional sekali gus membantu menangani isu kekurangan bilik darjah di sekolah padat.
Beliau berkata setakat perancangan semasa, pendekatan itu akan memberi tumpuan kepada pembinaan bilik darjah tambahan sebagai projek perintis.
Katanya jika terbukti berkesan, sistem modular berpotensi diperluas ke projek pembinaan lain pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Jabatan Kerja Raya kini mengendalikan 1,492 projek pendidikan di seluruh Malaysia bernilai RM37.98 bilion termasuk 77 di Sarawak (RM4.13 bilion).
-- BERNAMA