Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan berhubung cadangan untuk menyediakan kad identiti kepada warga asing yang sudah menjalani saringan COVID-19.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini warga asing masih boleh mengemukakan surat pengesahan saringan yang dikeluarkan hospital.

"Setakat ini belum ada identiti diri. Bagaimanapun surat ada pada mereka (warga asing). Kalau kita (pihak berkuasa) tanya, mereka boleh keluarkan surat.

"Kalau hendak nampak mereka itu negatif dari segi ada ID yang mereka pakai, setakat ini belum ada.

"InsyaAllah saya akan bincang dengan pihak KSM mungkin boleh meminta majikan-majikan mungkin sediakan tag sebagainya untuk kita kenali bahawa mereka sudahpun menjalani saringan COVID-19," katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Justeru, katanya, individu positif wabak berkenaan akan ditempatkan di wad untuk menerima rawatan, manakala yang negatif berkemungkinan perlu menjalani kuarantin jika terdedah kepada kontak rapat.