MALAYSIA
Kerajaan pertimbang undang-undang khusus tangani cabaran perundangan AI - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sistem sedia ada perlu ditambah baik kerana undang-undang berkaitan AI melibatkan pendekatan yang berbeza termasuk beban pembuktian, ketulenan dan integriti dokumen. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan undang-undang spesifik berkaitan kecerdasan buatan (AI) berikutan wujudnya cabaran dalam perundangan.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan mengkaji keperluan undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani isu pembuktian, ketulenan dan integriti dokumen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
- Beliau menegaskan mahkamah perlu diyakinkan untuk menerima bukti berasaskan AI yang berisiko dimanipulasi.
- Datuk Seri Azalina melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2025-2030 sebagai rangka kerja nasional pertama negara.
Beliau berkata mahkamah perlu mempunyai keyakinan untuk menerima bukti berasaskan AI, dengan teknologi itu mampu menghasilkan visual atau audio yang menyerupai individu sebenar tetapi tidak wujud dalam realiti, dan perkara ini memerlukan perhatian serius bagi melindungi orang awam daripada penipuan atau manipulasi.
Mengulas perkembangan penggubalan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, Azalina berkata perkara itu masih dalam proses dan tertakluk kepada persetujuan parti-parti politik.
"Kita ada tiga sesi Parlimen setahun... ia masih dalam proses," katanya.
Mengenai isu majikan menyimpan pasport pekerja, Azalina berkata undang-undang negara melarang perbuatan itu.
"Anda perlu berlaku adil kepada pekerja anda dan pulangkan semula pasport mereka," katanya sambil menegaskan bahawa Malaysia menghormati hak asasi semua pekerja, termasuk pekerja asing dari negara-negara ASEAN dan tidak seharusnya bertindak secara kasar atau bertentangan undang-undang terhadap mereka.
Terdahulu dalam ucaptamanya, Azalina berkata pelancaran NAPBHR 2025-2030 menandakan rangka kerja nasional pertama negara bagi mengintegrasikan hak asasi manusia dalam perniagaan dan tadbir urus korporat.
Beliau berkata pelan itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGPs) ketika negara memegang peranan Pengerusi ASEAN.
"Kejayaan pelan ini memerlukan lebih daripada sekadar usaha kerajaan, ia memerlukan pemilikan bersama," katanya.
NAPBHR memberi tumpuan kepada buruh, alam sekitar dan tadbir urus serta dibangunkan melalui sesi libat urus sejak 2019 bersama kementerian, agensi, masyarakat sivil, pemimpin industri, komuniti Orang Asli, kesatuan sekerja dan ahli akademik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami