Perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akhirnya dimeterai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Ia sekali gus menjadi permulaan entiti Air Selangor Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Air Selangor untuk mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

Dalam kenyataan media bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang mewakili kerajaan Pusat dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pengurusan Air Selangor akan mengambil alih tiga buah syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS), Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB), Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn. Bhd. (KASB).

"Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyediakan peruntukan sebanyak RM1.68 bilion bagi memudah cara pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi iaitu SYABAS, PNSB dan ABASS oleh Pengurusan Air Selangor selaras dengan MoU dan HoA Air Selangor. Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB secara pegangan pajakan selama 45 tahun dengan jumlah peruntukan yang sama.

"PAAB juga akan mengambil alih liabiliti syarikat-syarikat konsesi dan pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Selangor, SYABAS dan PNSB yang dianggarkan berjumlah RM7.45 bilion. Sebagai balasannya, Kerajaan Negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB dengan jumlah yang sama secara pegangan pajakan selama 45 tahun," kata kenyataan bersama itu.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mewakili kerajaan persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang mewakili kerajaan Selangor manakala PAAB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Ongkili dan Abdul Khalid.

Hadir sama pada majlis tersebut, anggota kabinet persekutuan termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, empat Exco kerajaan negeri Selangor serta pegawai kanan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor.

Kenyataan bersama itu menambah, PAAB akan memajakkan aset-aset air yang telah diambil alih kepada Pengurusan Air Selangor yang akan membayar sewa pajakan kepada PAAB pada kadar yang akan dirundingkan oleh kedua-dua pihak dan dimeterai melalui Perjanjian Kemudahan (Facility Agreement) dan Perjanjian Pajakan (Lease Agreement).

"Pengurusan Air Selangor akan diberikan lesen perkhidmatan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA (Akta 655) bagi membolehkannya menjalankan aktiviti merawat dan mengagih air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Pengurusan Air Selangor juga akan diberikan lesen kemudahan di bawah WSIA bagi aset-aset air Selangor yang dipindah milik kepadanya oleh Kerajaan Negeri Selangor," ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Kerajaan Persekutuan turut yakin satu transformasi menyeluruh dapat dilaksanakan oleh Pengurusan Air Selangor, yang akan menjadi nadi kepada perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bagi mewujudkan industri perkhidmatan air yang efisien, berdaya maju dan mampan.

"Kerajaan Persekutuan juga akan terus komited untuk menjadi pemudah cara bagi pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor.

"Ini akan dilakukan melalui kaedah yang dapat menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat bagi membolehkan Kerajaan Negeri Selangor mencapai hasrat untuk menguruskan air secara holistik," katanya.

Dalam pada itu kata kenyataan itu, pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) akan terus dipantau melalui Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek LRAL2 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Menteri Besar Selangor.

Pada 1 Ogos lalu, Abdul Khalid dan Ongkili menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di negeri ini.

Abdul Khalid sebelum ini turut memberi jaminan kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun akan datang.

Katanya, ini berikutan kejayaan penstrukturan semula industri air Selangor yang mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan industri tersebut.