Kementerian Utiliti Sarawak membantu memulihkan kesemua 23 projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES), kebanyakannya terletak di kawasan utara negeri ini setelah tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan negeri untuk memenuhi komitmen bagi mencapai liputan bekalan elektrik sepenuhnya di negeri itu menjelang 2025.

"Kami akan terus berusaha melakukan yang terbaik bagi mencapai 97 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar pada bulan-bulan akan datang dan liputan sepenuhnya menjelang 2025 untuk memastikan tiada seorang pun akan tinggal dalam kegelapan (tanpa bekalan elektrik)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Projek-projek tersebut dianugerahkan oleh kerajaan Persekutuan kepada kontraktor pihak ketiga, Citra Alti Sdn Bhd, untuk membekalkan elektrik ke kampung-kampung dan rumah-rumah panjang menjelang 2017 namun kerja-kerja dihentikan apabila syarikat berkenaan berdepan kesukaran untuk menyiapkannya.

"Daripada keseluruhannya, 10 projek tersebut yang melibatkan 26 kampung dan 633 isi rumah, telah diambil alih oleh kerajaan Sarawak dan (syarikat utiliti tenaga milik kerajaan negeri) Sarawak Energy Berhad pada akhir 2019," katanya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak masih dalam proses mengambil alih baki 13 projek yang melibatkan 18 kampung dan 358 isi rumah daripada syarikat dan kerja-kerja pemulihan telah bermula.

"Satu daripada projek itu merangkumi tiga kampung dengan 127 isi rumah di Marudi telah diganti dengan skim solar Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES)," katanya.

Enam lagi projek, melibatkan 16 kampung dan 328 isi rumah, digabungkan di bawah pembiayaan Projek Rakyat kerajaan negeri sementara proses tender baki projek akan dijalankan pada bulan-bulan akan datang.

Kumpulan 23 projek ini adalah tambahan kepada 81 projek yang sedang dilaksanakan dalam Pelan Induk Peningkatan Bekalan Elektrik Luar Bandar di bawah Projek Rakyat kerajaan Sarawak bernilai RM2.37 bilion.

Mengakui bahawa projek bekalan elektrik luar bandar mengalami kelewatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau menjelaskan, kerja-kerja telah disambung semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

"Sarawak Energy telah menempatkan pasukannya di lapangan bagi mempercepatkan projek ini dan untuk memastikan baki penduduk kampung dan isi rumah akan mendapat bekalan elektrik, tidak kira seberapa jauh rumah mereka," katanya.

-- BERNAMA