Kerajaan Negeri Sarawak sudah meluluskan penggunaan teknologi baharu V-Satelit berharga lebih kurang RM50 juta di bawah kendalian Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi menambah baik liputan jalur lebar internet di kawasan luar bandar di negeri ini.

Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Selasa berkata ini berikutan banyak syarikat telekomunikasi enggan menyediakan liputan jalur lebar di luar bandar negeri ini atas alasan pasaran yang tidak cukup walaupun Kerajaan Negeri Sarawak sudah menyediakan kemudahan menara telekomunikasi.

"Kelajuan (jalur lebar) teknologi V-Satelit ini adalah 30 megabit sesaat (mbps) termasuk wifi pun boleh masuk juga, jadi ini akan memudahkan petani luar bandar menjual produk pertanian dan berhubung dengan pembeli juga senang," katanya semasa berucap merasmikan upacara pecah tanah pembinaan bangunan baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di sini.

Menurutnya Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) juga telah diarahkan membina bangunan dan menyediakan teknologi V-Satelit terbabit secepat mungkin supaya boleh digunakan penduduk luar bandar negeri ini termasuk dalam bidang pertanian dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

Selain itu, beliau juga mengumumkan bangunan baharu PPNS terbabit selepas siap pembinaannya akan dilengkapkan dengan pelbagai teknologi terkini bidang pertanian termasuk teknologi Internet benda (IoT).

"Kita pamerkan teknologi di kawasan (bangunan) ini yang menggunakan IoT bagi mengajar petani bagaimana untuk menggunakan teknologi ini (untuk automasi pertanian)," katanya.

Abang Johari berkata selain IoT, bangunan terbabit juga akan mempamerkan pelbagai mesin dan juga teknologi robotik yang boleh digunakan dalam pertanian termasuk yang dapat mengangkut hasil tani.

Bangunan baharu PPNS yang dianggarkan bernilai RM20 juta akan dibina melalui peruntukan Kerajaan Negeri Sarawak di tapak seluas 1.2 hektar dan dijangka siap pada Mac 2022.

Ia bakal menjadi menjadi tempat pertemuan kesemua 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Sarawak dan tempat latihan dan galeri mempromosikan produk keluaran petani tempatan.

-- BERNAMA