KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan Sweden dalam pengurusan Sisa Buangan-Kepada-Tenaga (WTE) di negeri itu, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Sweden juga telah berjaya membuktikan kejayaan dasar pengurusan sisa pepejalnya dalam penjanaan tenaga berbanding negara-negara Eropah lain yang boleh dijadikan sebagai model bagi sistem pelupusan sampah buangan lebih mampan di Sarawak.

"Saya amat tertarik dengan keupayaan negara berkenaan dalam industri WTE yang mana Sarawak juga memiliki sumber hampir sama.

"Oleh itu, kita turut mempunyai kemampuan untuk mencontohi kaedah pengurusan sisa pepejal di Sweden," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), hari ini.

Kenyataan itu memetik ucapan beliau yang mengetuai delegasi kerajaan Sarawak dalam lawatan kerja ke Agensi Tenaga Sweden (SEA) di Stockholm, Sweden, pada Selasa.

Sejajar dengan usaha itu juga, Abang Johari menegaskan bahawa langkah bagi memantapkan lagi sistem pengurusan pepejal dengan menjana tenaga baharu menerusi WTE perlu dimulakan dari sekarang di Sarawak demi memastikan kesejahteraan rakyatnya pada masa depan.

Beliau juga tertarik dengan sistem grid elektrik rentas sempadan di Sweden yang mengeksport tenaga ke negara-negara jiran seperti Denmark, Norway, Finland, Jerman, Lithuania dan Poland.

Menurutnya, Sarawak juga memiliki potensi keupayaan sama dengan mengeksport tenaga elektrik ke negara jiran seperti ke Kalimantan, Indonesia.

Dalam pada itu, program beliau di Stockholm turut melibatkan kunjungan hormat terhadap Menteri Perdagangan dan Pembangunan Sweden, Johan Forssell sebelum meneruskan lawatan ke Norway hari ini bagi meninjau operasi kemudahan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan hidrogen di Bergen.

Premier Sarawak itu yang diiringi timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dalam lawatan kerja selama seminggu ke beberapa negara Eropah dan turut singgah di London untuk mengadakan perjumpaan bersama pegawai kanan Shell di ibu pejabat syarikat multinasional tersebut.

-- BERNAMA