Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menetapkan sasaran untuk membina sekurang-kurangnya 5,000 Rumah Bina Negara (Rumah BN) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu melebihi jangkaan awal yang ditetapkan menerusi peruntukan RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Menurutnya, melalui program berkenaan pihak kerajaan menawarkan insentif RM20,000 bagi setiap rumah yang berharga RM65,000 kepada peserta terpilih.

Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan membantu mendapatkan pembiayaan kepada peserta yang layak dengan bayaran ansuran yang rendah iaitu pada kadar RM250 sebulan.

Beliau berkata, Rumah BN merupakan program perumahan mampu milik kepada golongan belia luar bandar khususnya kepada generasi kedua pekebun kecil Risda.

"Tamat tahun 2020 kita ada 4,000 rumah, 2,000 daripada Felcra, 2,000 daripada Risda.

“Tetapi dengan bajet RM100 juta yang diberikan YAB Perdana Menteri baru-baru ini untuk Risda, kalau RM20,000 subsidi nanti, kita boleh dapat 5,000 rumah,” katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Rumah BN Risda di Kampung Bintang, Temerloh, Pahang.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa komited terhadap nasib dan masa depan masyarakat luar bandar khususnya golongan belia luar bandar yang sukar membeli rumah sendiri.

Katanya, berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, masalah perumahan menjadi isu utama belia luar bandar dengan hampir 21 peratus belia luar bandar berkeluarga masih tidak memiliki rumah sendiri.