BERA: Kerajaan mensasarkan 80 peratus kawasan di seluruh negara akan menerima capaian liputan 5G menjelang 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, biarpun sesetengah negara ASEAN lain telah lebih awal menerima liputan capaian 5G, namun kerajaan percaya Malaysia masih belum ketinggalan.

"Malaysia kita kira akan dapat kita samakan (liputan) dengan negara-negara lain di ASEAN dan juga di seluruh ASEAN.

“Walaupun negara lain telah pun memulakan 5G tapi kita percaya apabila pelancaran yang akan kita buat pada Disember 2021 kita tidak akan ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain,” katanya di sini hari ini.

Pelancaran jalur lebar capaian 5G dijangka diadakan pada Disember ini di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

Sementara itu katanya, kerajaan mensasarkan 100 peratus capaian 4G di seluruh kawasan berpenduduk menjelang 2025.

Sehingga kini, 94 peratus kawasan berpenduduk telah pun mendapat liputan mudah alih 4G.

Setakat ini 6.42 juta premis di seluruh negara telah disediakan dengan akses gentian optik dan dijangka meningkat kepada 9 juta premis pada tahun 2025.

Justeru kelajuan jalur lebar mudah alih dijangka meningkat kepada 100Mbps menjelang 2025, berbanding 31.34 Mbps ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan 2021 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang.

Pada majlis tersebut sebanyak 8 geran diserahkan kepada usahawan mikro,kecil dan sederhana.

Antaranya Geran DC-3 Digital Comic, Digital Creative Content dan Geran Automasi Pintar.