KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk memastikan harga perkhidmatan 5G yang akan diperkenalkan nanti lebih murah daripada perkhidmatan 4G, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Rundingan harga masih berjalan, katanya sambil menegaskan, harga akan ditetapkan kementerian, bukan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) atau syarikat telekomunikasi.

Tegasnya, setakat ini masih tiada kelulusan diberikan dan teknologi 5G hanya akan dimeterai selepas kementerian meluluskan harga perkhidmatan tersebut.

“Banyak membuat andaian harga kepada spektrum kita guna pakai, tiga bentuk spektrum pada harga berbeza-beza. Saya tanya kepada DNB, harga itu sekitar RM6 bilion.

“Ada juga beri anggaran kepada saya, berdasarkan harga lelongan dibuat di sesetengah negara, harganya boleh sampai RM15 bilion. Isunya, kalau kita buat lelongan atau pendekatan borong spektrum, harga yang dibayar itu akan disalur kepada pengguna.

“Lebih tinggi harga yang diambil, lebih mahal pula caj dikenakan kepada pengguna sedangkan matlamat kerajaan nak pastikan, sebolehnya, walaupun 5G diperkenalkan, harganya boleh dikatakan lebih murah daripada 4G. Itu sasarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini selepas isu tersebut dibangkitkan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai).

Kerajaan sasar 5G lebih murah daripada 4G - Annuar

Tambah Annuar, isu kos melepas kepada kerajaan tidak berbangkit kerana pembiayaan teknologi tersebut, tegasnya, tidak menggunakan dana kerajaan.

“Tapi ia diatur oleh swasta dan ia tidak guna konsep borong untuk halang harga terlalu tinggi perlu dibayar pengguna tapi ia menggunakan cara rundingan harga,” ujarnya.

Ahad lepas, DNB menjelaskan perbincangan telah dan sedang berlangsung dengan syarikat telekomunikasi berhubung pelancaran 5G negara, di bawah pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut DNB dalam satu kenyataan pada Sabtu, maklum balas syarikat telekomunikasi, terutamanya kesediaan mereka telah diambil kira dalam rancangan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara.

Penyedia tunggal perkhidmatan borong 5G negara itu menyatakan bahawa syarikat telah memasukkan maklum balas daripada syarikat telekomunikasi mengenai bidang utama berkaitan reka bentuk dan pelaksanaan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G miliknya.