LONDON: Empat individu dikejarkan ke hospital selepas cedera akibat tembakan yang dilepaskan dari sebuah kenderaan dalam kejadian awal pagi Sabtu di Brixton, selatan London, menurut Polis Metropolitan.
Seorang lelaki berusia 25 tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, manakala tiga lagi mangsa berusia 21, 47 dan 70 tahun mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Advertisement
Tembakan dilaporkan berlaku sekitar jam 1.15 pagi waktu tempatan di Coldharbour Lane, dengan polis tiba di lokasi dalam tempoh beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Perkhidmatan Ambulans London memaklumkan empat pesakit dirawat di lokasi kejadian, dengan dua daripadanya dibawa ke pusat trauma utama dan selebihnya ke hospital berdekatan.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih dijalankan.
Polis turut menjalankan operasi pencarian berhampiran kawasan perumahan Southwyk House, manakala sebahagian Coldharbour Lane ditutup dan dijangka kekal ditutup sehingga pagi Ahad.
Seorang pekerja pasar raya berhampiran, Moh John, 45, memberitahu agensi berita PA bahawa terdapat satu majlis berlangsung ketika kejadian dan beliau melihat orang ramai melarikan diri.
Seorang lagi saksi, Robert, 40, berkata beliau percaya insiden berlaku ketika satu acara barbeku yang sesak dengan orang ramai.
Ketua Detektif Inspektor Allam Bhangoo menyifatkan kejadian itu sebagai “keganasan secara rawak” dan memberi jaminan bahawa usaha sedang dijalankan dengan pantas untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan, sambil memaklumkan kehadiran polis akan dipertingkatkan di kawasan tersebut dalam beberapa hari akan datang.