Kerajaan sedang mengadakan rundingan untuk menurunkan harga pelitup muka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Perdana Menteri, untuk itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang berunding dengan pihak pengilang dan pembekal.

"Insya-Allah, jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan ini akan meringankan sedikit beban saudara-saudari sekalian," jelas Muhyiddin lagi.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Lanjutan PKPP yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.

Selain harga pelitup muka yang akan disemak semula, Muhyiddin juga mengumumkan, kelab malam dan pusat-pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi.

"Ini adalah tempat-tempat di mana norma baharu agak sukar untuk diamalkan

"Kemasukan pelancong asing ke Malaysia juga masih tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan kes-kes import ke dalam negara," tegas Perdana Menteri lagi.

Beliau berkata, aktiviti-aktiviti sukan dibenarkan tetapi tanpa penglibatan peserta antarabangsa dan penonton.

Selain itu, katanya, Tabung COVID-19 yang di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga diteruskan sehingga 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia masih boleh terus memberi sumbangan.

Menurut beliau, sumbangan orang ramai kepada tabung ini akan digunakan untuk membantu mangsa-mangsa COVID-19 selain menyediakan keperluan-keperluan untuk membendung wabak ini.

PKPP akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 dalam usaha kerajaan mencegah dan mengawal penularan wabak COVID 19.

"Walaupun PKPP dilanjutkan, saya yakin kehidupan saudara-saudari tidak akan terjejas kerana aktiviti harian boleh dilaksanakan seperti biasa dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan," kata Perdana Menteri lagi.


BACA: Tempoh PKPP dilanjut sehingga 31 Disember