MALAYSIA
Kerajaan sedia hadapi kesan SST, komited pantau harga makanan - Lim Hui Ying

Hui Ying berkata kadar inflasi keseluruhan negara pada Jun 2025 kekal stabil pada 1.1 peratus, tetapi inflasi makanan mencatat kadar lebih tinggi sekitar 2.1 peratus. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui inflasi makanan kekal tinggi berbanding kadar inflasi keseluruhan, namun menegaskan langkah kawalan dan pemantauan rapi sedang giat dilaksanakan bagi memastikan harga barangan asas tidak melonjak.
Ringkasan AI
- Kadar inflasi makanan pada Jun 2025 mencecah 2.1 peratus dan lebih tinggi di beberapa negeri, berbanding kadar keseluruhan 1.1 peratus.
- Kerajaan giat memantau harga barangan asas melalui KPDN, serta memperuntukkan RM1 bilion untuk program seperti Jualan Rahmah dan Payung Rahmah.
- RM13 bilion disalurkan menerusi STR dan SARA, dengan bantuan JKM, subsidi pendidikan dan pengangkutan turut dipertingkat bagi kurangkan tekanan kos sara hidup.
“Memang bila kita laksanakan perkembangan SST, kita sudah siap sedia untuk kesan, memang makanan atau kos sara hidup akan dinaikkan…kita memang ada daripada KPDN untuk turun padang memantau harga sebab SST,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang membangkitkan bahawa inflasi makanan lebih dirasai rakyat berbanding angka keseluruhan yang ditunjukkan oleh kerajaan.
“Di Negeri Sembilan sahaja, kadar inflasi makanan mencecah 3.3 peratus, Selangor 3.1 peratus dan Putrajaya 2.9 peratus, harga ikan kembung pun naik daripada RM14.80 kepada RM16 sekilogram selepas SST, ini tekanan sebenar rakyat,” kata Hamzah.
Menjawab perkara itu, Lim mengakui inflasi makanan adalah cabaran utama, namun kerajaan tidak berdiam diri dan telah menyediakan peruntukan besar bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
Antaranya, katanya, adalah peruntukan sebanyak RM1 bilion khusus untuk mengawal harga barangan asas, termasuk menerusi program Jualan Rahmah dan Payung Rahmah yang menerima suntikan RM300 juta.
“Kerajaan juga memperluas program pengurangan kos sara hidup melalui pelbagai saluran dengan tambahan peruntukan RM700 juta tahun ini,” katanya.
Dalam masa sama, Lim berkata kerajaan meningkatkan bantuan langsung kepada rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah yang kini berjumlah RM13 bilion, meningkat daripada RM10 bilion pada tahun sebelumnya.
“Seramai sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa mendapat manfaat bantuan ini, dengan kadar maksimum untuk isi rumah ditingkatkan kepada RM4,600,” katanya.
Selain itu, peruntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditambah kepada RM2.9 bilion, meliputi kenaikan bantuan warga emas kepada RM600 dan bantuan kanak-kanak daripada keluarga miskin kepada RM255 seorang.
Langkah lain termasuk pelaksanaan subsidi bersasar seperti BUDI MADANI, pas bulanan pengangkutan MAI50, serta pelbagai inisiatif sokongan pendidikan melalui bantuan awal persekolahan.
Sebelum itu, beliau turut memaklumkan bahawa ekonomi negara menunjukkan prestasi kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus pada suku pertama 2025 dan dijangka meningkat kepada 4.5 peratus bagi suku kedua.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami