Gol tunggal Joao Pedro teruskan rekod cemerlang Blues di Stadium Tottenham Hotspur

Gol tunggal Joao Pedro teruskan rekod cemerlang Blues di Stadium Tottenham Hotspur. - Gambar Reuters
CHELSEA meneruskan kebangkitan mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam derby London di Stadium Tottenham Hotspur, hasil jaringan tunggal Joao Pedro pada babak pertama awal pagi tadi.
Kemenangan itu melonjakkan The Blues ke tangga kelima liga menyamai kutipan mata dengan Spurs dan lebih manis, ia juga menandakan kemenangan kelima berturut-turut Chelsea di gelanggang keramat lawan mereka itu.
Bagi Tottenham pula, ia satu lagi malam yang berakhir dengan kekecewaan. Di depan penyokong sendiri, anak buah Thomas Frank gagal memanfaatkan kelebihan dan akhirnya menjadi mangsa kepada kesilapan sendiri.
Gugup di laman sendiri
Musim Spurs setakat ini ibarat dua wajah berbeza. Di tempat lawan mereka antara yang terbaik dalam liga, tetapi di kandang sendiri, prestasi mereka amat mengecewakan.
Minggu lalu, Spurs menunjukkan permainan berdisiplin ketika menundukkan Everton di Hill Dickinson Stadium, memanfaatkan situasi bola mati dan bertahan dengan kemas.
Namun kali ini, mereka kembali lemah dan goyah sejak awal permainan.
Kesilapan mudah antara Simons dan Van de Ven membuka ruang buat Caicedo merampas bola dan menghadiahkan gol kemenangan kepada Joao Pedro.
Walaupun Bentancur hampir menyamakan kedudukan menerusi lontaran jauh Kevin Danso pada awal babak kedua, peluang mereka semakin tipis selepas itu.
Kekalahan ini menutup hari yang malang buat Spurs bermula dengan kecederaan kepala Lucas Bergvall seawal minit ketujuh, dan berakhir dengan mereka kini lapan mata di belakang Arsenal.
Spurs akan kekal di London untuk aksi Liga Juara-Juara menentang FC Copenhagen pada Selasa, sebelum menerima kunjungan Manchester United hujung minggu depan.
Caicedo nadi kemenangan Chelsea
Di sebalik jaringan tunggal Joao Pedro, watak utama kemenangan ini jelas milik Moises Caicedo.
Pemain tengah Ecuador itu menjadi pendorong utama dalam sistem taktikal Enzo Maresca memenangi bola, mengekalkan penguasaan, dan menjadi penghubung utama antara pertahanan serta serangan.
Eksperimen Maresca menolak Reece James ke posisi tengah turut menjadi langkah bijak.
Kapten Chelsea itu menunjukkan ketenangan dan ketepatan hantaran yang memberi keseimbangan kepada pasukan, terutama dalam mengekang asakan Spurs di babak kedua.
Chelsea mungkin tidak terlalu bergaya, tetapi mereka jauh lebih tersusun, matang, dan efisien berbanding beberapa minggu lalu.
Bagi Maresca, kemenangan ini hadir tepat pada waktunya selepas tekanan meningkat berikutan prestasi tidak konsisten dan kebocoran besar dalam saingan Piala EFL.
Kini, dengan lima kemenangan berturut-turut ke atas Spurs dan pertahanan yang semakin kukuh, Chelsea tampak mula menemui rentak sebenar di bawah kendalian Maresca.
Fakta Menarik
- Chelsea hanya tewas sekali dalam 18 pertemuan terakhir menentang Spurs (menang 14, seri 3).
- Spurs menang tiga sahaja daripada 19 aksi liga di laman sendiri sejak November 2024.
- Gol Joao Pedro menamatkan kemarau jaringan 705 minit dalam semua pertandingan.
- Spurs kini antara pasukan paling banyak melakukan kesilapan membawa kepada gol lawan musim ini (tiga), setara dengan Manchester United, Nottingham Forest dan Fulham.
Spurs pula perlu menilai semula identiti mereka di laman sendiri. Prestasi di tempat lawan tidak akan bermakna banyak jika setiap kunjungan ke Stadium Tottenham Hotspur berakhir dengan kecewa dan ejekan.
Di London, dua pasukan ini kini terpisah hanya dengan beza jaringan tetapi dari segi keyakinan, Chelsea tampak sudah selangkah di hadapan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


