KUALA LUMPUR: Peranan kerajaan adalah memastikan asas dasar serta rangka kerja fiskal yang berwibawa, di samping menggunakan modal awam bagi merancakkan pasaran supaya modal swasta dapat memainkan peranan lebih besar dalam memacu pelaburan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata walaupun kerajaan mampu menyediakan kepastian dasar dan mengekalkan rangka kerja fiskal yang berwibawa, tanggungjawab membiayai inovasi serta pengembangan perniagaan perlu semakin dipikul oleh bank, pelabur institusi, syarikat modal teroka dan syarikat ekuiti persendirian.
“Kerajaan boleh menyediakan kepastian, namun pasaran perlu bersedia mengambil risiko.
"Kerajaan perlu memastikan asas ekonomi kekal stabil dan boleh dijangka, manakala pelabur perlu meneroka potensi baharu dengan menyokong syarikat, teknologi dan model perniagaan baharu sebelum hasilnya dapat dilihat dengan jelas," katanya dalam ucaptama pada RHB Progress Series 2026 di sini, hari ini.
-- BERNAMA