SHAH ALAM:Kerajaan Selangor menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar isu air tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri dan pihak berkaitan komited mengambil pendekatan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.

“Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengingatkan agar semua pihak termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan untuk bersama-sama melaksanakan dan tidak mempolitikkan isu ini untuk kepentingan mana-mana pihak apatah lagi menyalah mana-mana pihak.

“Saya mengambil pendekatan untuk bekerjasama sebaik mungkin dan memastikan kesejahteraan rakyat dan masalah air dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri telah mempergiatkan proses pemantauan dalam memastikan masalah pencemaran air tidak berulang.

Tegasnya lagi, kajian segera termasuk penggunaan teknologi turut diberi perhatian.

“Kita telah meluluskan pada Khamis lepas penggunaan teknologi dron supaya ia dipantau dan diperbanyakan.

“Bulan 11 (November) nanti kita akan bentangkan undang-undang yang lebih ketat,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani memaklumkan, sejak 2009 Sultan Sharafuddin telah beberapa kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor agar masalah air tidak dipolitikkan dan diatasi segera kerana ia adalah keperluan asas kehidupan rakyat.

BACA: Sultan Selangor dukacita masalah gangguan bekalan air dihadapi rakyat