Kerajaan negeri Selangor tidak menolak kemungkinan tindakan catuan air ke atas pengguna akan berulang, walaupun catuan dihentikan berkuatkuasa Rabu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun memberi jaminan bahawa bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur bagi tempoh lima ke enam bulan akan datang adalah mencukupi.

"Kita tidak boleh beri jaminan catuan air ini tidak berulang.

"Tetapi melalui usaha yang sedang dijalankan dengan menggunakan air alternatif seperti sumber air hujan, air kolam dan bekas lombong kita yakin bekalan air cukup untuk keperluan pengguna sekurang-kurangnya untuk tempoh ke lima dan enam bulan akan datang," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, beliau berkata Kerajaan Selangor hari ini memutus menghentikan pelan tindakan catuan air serentak di semua kawasan terlibat mulai Khamis.

Abdul Khalid berkata pihaknya berpendapat tidak perlu menunggu air di empangan mencapai takungan 50 peratus untuk menghentikan catuan.

Ini kerana usaha keras termasuk mengepam air kolam selain hujan berterusan di kawasan tadahan air mampu meningkatkan lagi paras air empangan, katanya.

Di KUALA LUMPUR, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyatakan ia akan melaksanakan arahan memberhentikan catuan air seperti diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan akan memaklumkan perkembangan terkini secara berterusan.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata pengeluaran air terawat dari lima loji rawatan air dari sumber Sungai Selangor telah ditingkatkan.

"Bekalan air tambahan dari kelima-lima loji rawatan ini telah disalurkan secara berterusan ke beberapa kawasan yang terlibat dengan catuan air sehingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Priscilla berkata gangguan kelewatan penyaluran air berlaku semalam adalah disebabkan kejadian paip air pecah dan melibatkan Taman Kajang Raya, Kampung Dusun Tua di daerah Hulu Langat, Jalan Tun Sambathan di daerah Klang, serta Kepong Ulu di daerah Gombak.

"Bagaimanapun, penyaluran bekalan air ke kawasan terlibat sudah kembali normal," katanya.