Kerajaan sokong hasrat Leonardo jadikan Malaysia hab keselamatan siber - Fahmi

Fahmi ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Keselamatan Siber Serantau Leonardo di sini hari ini. - Foto ihsan Leonardo.
SHAH ALAM: Kerajaan mengalu-alukan syarikat pertahanan dan teknologi global Leonardo untuk menjadikan Malaysia sebagai hab keselamatan siber di Asia Tenggara.
Ringkasan AI
- Kerajaan mengalu-alukan hasrat Leonardo menjadikan Malaysia hab keselamatan siber di Asia Tenggara berdasarkan jaringan internet yang murah dan pantas.
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyeru kerjasama dengan Leonardo serta pihak berkaitan seperti NACSA dan MKN untuk mempertimbangkan hasrat syarikat itu.
- Fahmi menekankan keperluan setiap organisasi, termasuk kerajaan dan perniagaan, untuk mempunyai Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat bagi memastikan keselamatan siber dipelihara dengan baik.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Keselamatan Siber Serantau Leonardo di sini hari ini.
Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan mendapatkan khidmat Leonardo untuk keselamatan siber, Fahmi berkata peluang itu wujud namun masih belum dibincangkan secara terperinci.
Beliau turut meminta pihak berkaitan seperti Timbalan Ketua Setiausaha dan pasukan kementerian serta melibatkan agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbang hasrat syarikat antarabangsa itu.
“Saya percaya pihak Leonardo juga boleh menjadi antara pasukan yang saya maksudkan itu tapi itu terserah kepada pihak NACSA dan MKN,” katanya.
Fahmi turut menekankan setiap organisasi, termasuk perniagaan dan kerajaan, perlu mewujudkan jawatan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) bagi memastikan semua peringkat organisasi memahami risiko keselamatan siber.
“CISO perlu memimpin perubahan budaya dalam organisasi supaya semua, dari pengurusan tertinggi hingga staf junior, faham bahawa kegagalan menjaga keselamatan siber boleh menjejaskan keseluruhan organisasi,” katanya.
Beliau berkata kakitangan yang meninggalkan organisasi atau bertukar jawatan masih berisiko menjadi sasaran pancing data (phishing), manakala perisian hasad (malware) membolehkan penjenayah siber mencuri data.
“Setiap kementerian kini mempunyai ketua pegawai data, dan beberapa pindaan serta peningkatan sumber manusia akan disusuli oleh JPA,” katanya ketika ditanya mengenai implementasi di kementerian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


