KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menstruktur semula Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan di setiap kementerian di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, penstrukturan semula Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan itu juga bagi membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Selain itu, menurutnya, KPM akan meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berunding dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia terutama RTM untuk memainkan lagu-lagu bahasa kebangsaan.

"Penstrukturan semula ini adalah salah satu usaha kita. Selain daripada itu, kita kena ada kempen secara kerap.

"Saya telah meminta pihak DBP supaya berunding dengan KKMM terutama RTM kalau boleh mainkan semula lagu-lagu ini dalam usaha memberi kesedaran kepada orang awam pentingnya kita menggunakan bahasa kebangsaan," katanya di Dewan Negara pada Rabu.

Selain daripada cadangan meminda mana-mana perundangan berkaitan, jelas Mohamad, kerajaan sebenarnya melalui program Dekat Bahasa Kebangsaan menyahut saranan perdana menteri untuk memperkasa bahasa kebangsaan di semua acara rasmi kerajaan.

Selain itu, Mohamad menjelaskan adalah menjadi keutamaan kerajaan dari semasa ke semasa untuk memastikan pelajar sekolah rendah dan menengah menguasai bahasa Melayu dalam keadaan yang cukup baik.

"Kita juga mengadakan sistem penarafan bahasa Melayu di sekolah rendah dan sistem pentaksiran bahasa Melayu dibuat di semua peringkat.

"Maknanya, prestasi penggunaan bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah akan menjadi keutamaan kerajaan," katanya.