KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) bagi membolehkan sesi libat urus dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mempengerusikan sesi pembentangan draf PSKL 2040 oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat.

Jelas Anwar, beliau mengambil maklum bahawa proses penyediaan dokumen berkenaan telah dilaksanakan mengikut keperluan yang diperuntukkan dalam Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dengan teratur.

"Penangguhan pewartaan akan membolehkan DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi.

"Sesi libat urus berkenaan bagi memberi penjelasan dan mendapatkan maklum balas yang sewajarnya dalam penyempurnaan pewartaan PSKL 2040," katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata penangguhan pewartaan dokumen tersebut juga bagi memberi peluang yang lebih luas kepada pihak berkepentingan lain menyatakan pandangan terhadap pelan pemajuan Bandaraya Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan, Save Kuala Lumpur (SKL) menggesa Perdana Menteri agar tidak meluluskan PSKL 2040 sehingga semua proses wajar selesai dilaksanakan DBKL.

Pelan Struktur Kuala Lumpur yang pertama diwartakan pada 1984, dan pelan kedua diumumkan pada 2004, dikenali sebagai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Pada Januari 2018, DBKL memulakan kajian untuk KLSP2040.