KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan tarikh pelaksanaan tiga inisiatif membabitkan duti eksais dan cukai yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021.

Ia termasuk duti eksais ke atas produk penyediaan pra-campuran yang mengandungi gula yang tinggi melebihi nilai ambang 33.3 gram setiap 100 gram, cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang dan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (low value goods).

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada Selasa, penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira keperluan pihak industri terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ketiga-tiga inisiatif ini telah disyorkan untuk bermula pada tahun 2023, namun, mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan tempoh masa secukupnya untuk membuat persediaan terutamanya di kalangan PMKS, terdapat keperluan untuk menetapkan semula tarikh kuat kuasa pengenaan ketiga-tiga duti dan cukai tersebut.

“Hal ini juga dapat memberi ruang kepada pihak industri untuk membuat penyelarasan
ke atas model perniagaan mereka, pelaksanaan latihan dan penyediaan dokumentasi.”

Terdahulu, dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, kerajaan mengumumkan cadangan untuk melaksanakan tiga inisiatif tersebut bermula 2023.

Menurut MOF, bagi duti eksais untuk produk pra-campuran berkandungan gula yang tinggi, ia merupakan usaha kerajaan dalam menyokong strategi membendung arah aliran peningkatan penyakit diabetes, obesiti dan lain-lain penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan pemakanan yang tidak seimbang.

Manakala peluasan skop kenaan cukai perkhidmatan untuk meliputi perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh syarikat bukan kurier bertujuan untuk memberikan layanan sama rata antara semua penyedia perkhidmatan penghantaran barang.

Sementara peluasan skop kenaan cukai jualan meliputi LVG iaitu barang bernilai RM500 ke bawah yang dijual secara dalam talian oleh peniaga luar negara dan diimport ke Malaysia adalah bagi memberikan layanan yang sama rata antara barangan keluaran tempatan dan barangan yang diimport.