KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk menutup kelompangan (lacuna) yang wujud dalam Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah bagi memastikan ia sesuai dengan perkembangan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ia juga bagi memastikan undang-undang syariah tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama jenayah yang dilakukan secara dalam talian sekali gus menjadikan penguatkuasaan dan pendakwaan lebih efisien.

"Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah ini menentukan bagaimana siasatan itu boleh dilakukan. Sebagai contoh Ajaran Sihulk, kalau secara fizikal dia mengajar ajaran sesat itu di Gombak, jadi pendakwaan itu dilakukan di Mahkamah Syariah Gombak di tempat kesalahan itu dilakukan tapi kalau ia berlaku secara dalam talian di media sosial, di mana nak menentukan bagaimana kesalahan itu dilakukan.

"Inilah yang perlu dibincangkan dan sekiranya lacuna ada dalam akta atau enakmen Tatacara Jenayah Syariah maka akta atau enakmen itu perlu dipinda," katanya selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Isu-Isu Semasa Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan sedang mempertimbang cadangan mewujudkan jawatan kader penasihat undang-undang di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi memperkasa bahagian penguatkuasaan undang-undang syariah bagi agensi berkenaan.

Naim berkata jawatan itu antara lain bertujuan memberikan nasihat perundangan yang sesuai dan segera bagi melancarkan tugas penguatkuasaan selain akan bertemu dengan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membincangkan perkara tersebut.

"Di JAWI, khususnya di bahagian penguatkuasaan, kadang-kadang banyak melibatkan kes kontroversi dan memerlukan pandangan daripada AGC, jadi sekarang JAWI tiada lagi (penasihat undang-undang) jadi terpaksa dapatkan pandangan tersebut daripada penasihat undang-undang yang ada di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu agensi lain, atau daripada AGC.

"... jadi tempoh nak dapatkan jawapan itu memakan masa sedangkan dia perlukan jawapan segera. Dalam konteks itu, JAWI berharap jawatan itu boleh diwujudkan supaya sekiranya ada isu timbul dia boleh terus beri nasihat kepada JAWI dan JAWI boleh bertindak berdasarkan pandangan tersebut," katanya.

Naim berkata beliau turut menyasarkan supaya jawatan itu dapat diwujudkan pada tahun hadapan.

Mengenai isu melibatkan replika senjata mainan di sebuah sekolah yang tular dipercayai semasa Minggu Solidariti Palestin, beliau berkata pihak sekolah perlu memainkan peranan dengan mengawal perkara itu supaya ia tidak disalah anggap dan seterusnya membawa sentimen yang tidak sepatutnya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung isu itu dan mengarahkan supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan mengenai perkara tersebut.

-- BERNAMA