Kerajaan Terengganu sedia bantu Azizulhasni pertahan jurulatih - Menteri Besar

Nur Fazlizai Ali
Ogos 25, 2021 10:25 MYT
Menurut Azizulhasni, khidmat John Beasley diperlukan bagi memastikan persediaan beliau dan rakan pasukan lain menghadapi temasya Sukan Olimpik di Paris pada 2024 tidak terjejas dan berjalan lancar. - Gambar Instagram Azizulhasni
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan berusaha mempertahankan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley untuk terus membimbing Datuk Azizulhasni Awang.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan cuba merealisasikan keinginan pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini mendapatkan jurulatih.
“Saya bagi komitmen sekiranya keputusan berbeza nak dibuat oleh mana-mana pihak Insya-Allah saya akan perjuangkan Datuk Azizulhasni dapat khidmat jurulatih terbaik seperti mana yang dikehendaki,” kata Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 daripada kerajaan negeri kepada Azizulhasni di sini, pada Rabu.
Azizulhasni menerima insentif berupa sebuah rumah kediaman bernilai RM300,000 dan wang tunai RM50,000 sebagai ganjaran di atas kemenangannya meraih pingat perak pada acara keirin Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.
BACA: Beasley lebih daripada jurulatih bagi saya - Azizulhasni
Dalam perkembangan sama, Azizulhasni berkata, beliau masih menagih dan memerlukan khidmat jurulatih kelahiran Australia itu untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Katanya, persiapan ke Paris akan dimulakan secara intensif bermula tahun depan sekali gus mengharapkan sentuhan magis jurulatih berkenaan dalam temasya Sukan Olimpik terakhirnya kelak.
Azizulhasni berkata, khidmat Beasley diperlukan bagi memastikan persediaan beliau dan rakan pasukan lain menghadapi temasya sukan itu di Paris tidak terjejas dan berjalan lancar.
“Sudah tentu untuk legasi terakhir, saya memerlukan John sebab sudah tidak lama pun… tiga tahun, kalau tak pun saya panggil John balik Terengganu,” katanya kepada pemberita.
Menurut Azizulhasni, Beasley memainkan peranan penting dalam kariernya sejak mula membimbing skuad negara pada 2006.
Jelas Azizulhasni, tempoh tiga tahun sebelum temasya di Paris juga bukan tempoh yang lama untuk melakukan persediaan dan latihan.
Sebelum ini, Beasley yang juga ketua jurulatih basikal trek menyatakan kesediaan untuk terus kekal membimbing skuad negara berikutan kontraknya bakal tamat hujung tahun ini.
Malah, dia juga bersedia untuk berpindah ke Malaysia sekiranya ditawarkan kontrak baharu.
BACA: Azizulhasni beri bayangan bersara selepas Olimpik Paris 2024
BACA:
Rumah, wang tunai RM50,000 ganjaran buat Azizulhasni dari kerajaan Terengganu
#Azizulhasni Awang #jurulatih #John Beasley #Sukan Olimpik Tokyo