[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Kerajaan teroka kaedah perluas penggunaan biodiesel - Johari

Bernama 18/07/2025 | 21:30 MYT
Johari melakukan gimik pada Majlis Peluncuran Projek Rintis Biodiesel Sawit B30 Ladang-Ladang Sawit di Pulau Carey, SD Guthrie Berhad di Akademi Golden Hope, Pulau Carey, Banting, pada Jumaat. - Gambar Bernama
BANTING: Kerajaan sedang berusaha untuk memperluas penggunaan biodiesel di negara ini sebagai langkah ke arah sumber bahan api yang lebih mampan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, program biodiesel negara yang dilaksanakan sejak 2011 telah tergendala dalam usaha untuk menggunakan campuran biodiesel sawit yang lebih tinggi berikutan perbelanjaan modal (capex) dan kekangan infrastruktur.

"Pada 2019, Malaysia mewajibkan penggunaan B7 dalam sektor industri dan B10 bagi sektor logistik, tetapi kita masih belum beralih kepada B20 memandangkan ini memerlukan capex yang tinggi berjumlah RM580 juta.

"Oleh itu, kita sedang mengkaji bagaimana untuk melaksanakannya, pihak yang patut menanggung subsidi, dan kita juga mahu melihat kesannya apabila ia menjadi B20. Bagaimana ia akan mempengaruhi harga diesel, semua itu perlu diteliti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek perintis Biodiesel B30 di Akademi Golden Hope Guthrie, di Pulau Carey, di sini, pada Jumaat.

Program itu menyaksikan SD Guthrie Bhd akan beralih sepenuhnya kepada penggunaan biodiesel B30 bagi semua jentera operasi dan kenderaan syarikat yang menggunakan diesel di ladangnya di Pulau Carey.

Biodiesel B30 iaitu campuran 30 peratus biodiesel berasaskan sawit dan 70 peratus diesel petroleum adalah bahan api yang lebih bersih dan mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 23 peratus bagi setiap liter berbanding diesel konvensional.

Beliau berkata, sekiranya penggunaan biodiesel dapat diperluaskan secara menyeluruh di seluruh negara, pelarasan harga terhadap komoditi berkenaan dijangka dilaksanakan.

Bagaimanapun, Johari enggan mengulas bagaimana ia mungkin menjejaskan subsidi bahan api bersasar, dan katanya masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran mengenainya.

"Penggunaan biodiesel sawit memberi manfaat alam sekitar yang jelas. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan GHG berbanding diesel biasa, malah bebas sulfur," kata beliau.

-- BERNAMA






#biodisel #subsidi #sektor logistik #bahan api