Kerajaaan tidak bercadang untuk menyemak semula kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 6 peratus yang dikenakan buat masa sekarang, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.

Jelas beliau, ia berikutan kadar GST 6 peratus itu adalah bersesuaian dan selaras dengan kajian dilakukan.

"Kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula kadar standard 6 peratus. Ini kerana sebelum pelaksanaan GST, kajian yang terperinci telah dibuat untuk memastikan kadar GST yang dikenakan adalah bersesuaian.

"Ia mengambil kira antara lain kadar cukai yang dilaksanakan sebelum pelaksanaan GST iaitu cukai jualan sebanyak 10 peratus dan cukai barangan dan perkhidmatan 6 peratus," katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Di samping itu ia pelbagai faktor lain termasuk komposisi sumbangan hasil daripada sektor tertentu, beban cukai terhadap pengguna, struktur cukai pendapatan, dan pakej bantuan kepada pengguna diambil kira dalam penetapan kadar GST tersebut.

"Ia selaras dengan usaha mewujudkan sistem cukai yang berdaya saing pada jangka masa panjang," tambahnya.

Kadar rendah

Mengulas soalan tambahan Tien Fatt, beliau menjelaskan GST di Malaysia adalah lebih rendah daripada negara-negara jiran khususnya.

"Kalau di Filipina kadar GST 12 peratus, Indonesia, Vietnam dan Kemboja serta Laos 10 peratus, manakala Singapura 7 peratus, tetapi kita 6 peratus," jelasnya.

Justeru katanya, adalah tidak munasabah jika kadar GST dikurangkan.

"Kita juga memberikan banyak kadar kosong GST seperti makanan, pertanian, daging dan lain- lain. Perkhidmatan pengangkutan awam juga begitu. Jadi untuk mengurangkan GST pada ketika ini agak tidak munasabah kerana pendapatan kerajaan juga telah berkurang begitu banyak akibat kejatuhan harga minyak," ujar beliau.

Tambahnya, agihan GST yang dikutip kerajaaan juga digunakan untuk kebajikan rakyat.

"Sebahagian kutipan GST ini juga kita berikan subsidi BR1M iaitu sebanyak RM5.9 bilion dan kerajaan meneruskan bantuan untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mereka yang memerlukan. Pada masa sama ,kita bina sekolah dan sebagainya untuk rakyat," katanya lagi.