MALAYSIA
Kerajaan tidak cadang kenakan caj kenderaan masuk ke bandar, bebankan rakyat - PM

Menurut Anwar, kerajaan hanya mempertimbangkan pelaksanaan caj itu selepas rangkaian sistem pengangkutan awam negara berada pada tahap yang baik dan menyeluruh. - foto Astro AWANI
GOMBAK: Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan caj kemasukan ke kota bagi kenderaan persendirian kerana ia boleh membebankan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan hanya mempertimbangkan pelaksanaan caj itu selepas rangkaian sistem pengangkutan awam negara berada pada tahap yang baik dan menyeluruh.
“Sesetengah negara mengenakan bayaran lain untuk masuk ke kota, tetapi kita tidak mencadangkan perkara itu kerana buat sementara ini, kita rasa ia mungkin membebankan.
“Namun sebaik sahaja lingkaran kemudahan awam itu menyeluruh dan baik di seluruh negara, barulah kita harus memikirkan perkara itu,” katanya selepas merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG), di sini, pada Isnin.Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyebut nama caj terhadap kenderaan persendirian yang memasuki bandar itu.
Pada 25 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan sedang meneliti untuk mengenakan caj kesesakan bagi mengurangkan jumlah kenderaan memasuki pusat bandar.
Menurut Zaliha, inisiatif itu dipertimbangkan dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 untuk mengurangkan kesesakan waktu puncak.
Zaliha turut menjelaskan caj kesesakan ke atas pemandu untuk masuk ke bandar dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di ibu negara sehingga 20 peratus.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaksanaan caj itu pernah dilaksanakan sekitar tahun 1990-an, namun gagal kerana perkhidmatan bas ketika itu tidak memuaskan serta menyebabkan kesesakan dan ketidakselesaan pengguna.
“Dulu orang beratur dalam panas, bas sesak, laluan tidak selesa. Tapi sekarang keadaan sudah berubah. Pengangkutan awam lebih selesa dan teratur,” ujarnya.
TBG memulakan operasi rasmi pada 22 Mac lalu dan bakal menjadi hab utama bagi perjalanan bas ke Pantai Timur selain destinasi lain seperti negeri di utara.
Terminal itu juga menyediakan perkhidmatan bas antara bandar dan dihubungkan terus dengan stesen LRT Gombak serta stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami