PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Madani tidak akan mempertahan mana-mana badan agensi Kerajaan yang curang serta terlibat dalam projek yang tidak memberi manfaat kepada Bumiputera.

Jelas beliau, ini termasuk projek yang sepatutnya diberi kepada pihak atas nama Bumiputera tetapi diserahkan kepada golongan bukan Bumiputera.

"Sebagai Kerajaan, sebagai negara, kita tak ada masalah kalau projek itu projek untuk rakyat, projek untuk negara yang boleh dimanfaatkan oleh Bumiputera, Cina atau India, bukan masalah.

"Tetapi kalau projek itu khusus untuk Bumiputera... adalah salah dan pengkhianatan kalau tidak dipertahan kepentingan Bumiputera keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Anwar juga memberitahu Kerajaan Madani akan terus memperkasa rakyat, yang bukan hanya membantu golongan penguasa, elit bandar atau desa, malah merangkumi kesemua masyarakat terpinggir di negara ini.

Sementara itu, beliau memberitahu ada segelintir bukan Bumiputera yang bimbang dan sinis mengapa dasar dan Kongres membantu Bumiputera diteruskan.

"Mereka tidak lihat kenyataan bahawa jumlah besar Bumiputera di Semenanjung, Sabah Sarawak dalam kategori miskin. Mereka lupa bahawa peluang perniagaan, usahawan besar masih terbantut bagi Bumiputera.

"Oleh demikian, saya menyeru supaya pendekatan ini harus diubah bahawa Kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak di negara ini," katanya.