Kerajaan tidak tekan, ambil tindakan terhadap media walau berbeza pandangan - Teo

Teo berkata pendekatan kerajaan kini berbeza dengan amalan sebelum ini kerana Kerajaan MADANI memilih untuk menyatakan pendirian secara terbuka tanpa menyekat kebebasan media. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menekan atau mengambil tindakan terhadap organisasi media walaupun tidak bersetuju dengan laporan diterbitkan, selaras dengan komitmen menghormati kebebasan media di negara ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia tidak akan menekan organisasi media walaupun tidak bersetuju dengan laporan yang diterbitkan, menunjukkan komitmen kepada kebebasan media.
- Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menyatakan bahawa Kerajaan MADANI memilih untuk menyatakan pendirian secara terbuka tanpa menyekat kebebasan media.
- Majlis Media Malaysia ditubuhkan untuk memastikan standard kewartawanan yang beretika, bertanggungjawab, dan profesional diikuti oleh pengamal media di negara ini.
"Jadi walaupun ada artikel, kandungan yang kita tidak setuju, kita kurang setuju, kita menyatakan pendirian kita dan tak semestinya kita tiap-tiap kali perlu panggil mereka untuk rekod kenyataan. Saya rasa itulah perbezaan paling besar antara Kerajaan MADANI dengan pihak di sebelah sana," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang membangkitkan isu laporan portal berita MalaysiaKini mengenai dakwaan kewujudan 263 akaun palsu dikaitkan dengan usaha menaikkan sokongan terhadap Perdana Menteri di Internet.
Menjelaskan perkara itu, Teo berkata pihak META juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada aktiviti tidak normal dikesan berkaitan dakwaan tersebut.
"Pertama META telah keluar kenyataan dan menyatakan bahawa tiada aktiviti abnormal. Itu penjelasan daripada META. Sekiranya ada akaun palsu saya tak nafikan, saya selalu cakap memang banyak akaun palsu telah diwujudkan untuk promosikan penipuan (scam)," katanya.
Beliau menegaskan kerajaan sentiasa menghormati prinsip kebebasan media sebagai satu daripada tonggak penting dalam sistem demokrasi negara, namun ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan berlandaskan etika kewartawanan profesional.
Teo berkata Majlis Media Malaysia (MMM) telah ditubuhkan menerusi Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) yang berkuat kuasa 14 Jun lepas, bagi memastikan standard kewartawanan beretika, bertanggungjawab dan profesional diguna pakai pengamal media di negara ini.
"Majlis Media Malaysia secara rasminya ditubuhkan pada tahun ini sebaik sahaja Akta 868 berkuat kuasa dan telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 7 Nov 2025.
"Menerusi AGM tersebut juga, kod tatakelakuan dan juga mekanisme aduan telah diluluskan dengan pindaan menandakan langkah penting ke arah membina ekosistem media yang lebih kukuh, beretika, profesional dan diyakini oleh rakyat," katanya.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang ingin tahu langkah akan diambil bagi mempertahankan imej kerajaan dikatakan tidak dapat mengawal media memburukkan pemimpin dan kerajaan.
Menjawab soalan tambahan Hasni mengenai keperluan mempertingkat penglibatan awam dalam memperjelas dasar kerajaan, Teo berkata kementerian sentiasa bekerjasama dengan agensi lain untuk menjelaskan pendirian dan inisiatif kerajaan kepada rakyat seperti Jabatan Penerangan (JaPen).
"Sebagai contoh, kami ada JaPen Digital yangsecara konsisten dan strategi menyebarkan maklumat terperinci mengenai inisiatif dan juga kejayaan kerajaan serta fakta-fakta yang menangkis sebarang maklumat palsu ataupun fitnah," katanya.
Selain itu, beliau berkata bagi membantu orang ramai membezakan antara berita benar dan palsu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewujudkan Artificial Intelligence Fact Check Assistant (AIFA) yang membolehkan pengguna menyemak kesahihan maklumat melalui aplikasi WhatsApp.
"Apabila dilancarkan secara rasmi pada 28 Jan hingga 31 Okt, secara purata AIFA menerima 760 mesej sehari. Jadi ini menunjukkan bahawa lebih ramai warga Malaysia yang mengetahui tentang kewujudan AIFA," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


