PUTRAJAYA:Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara yang pertama hari ini telah menyaksikan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat, yang akan dipengerusikan Menteri Undang-undang dan Ketua Setiausaha Negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu mendapat persetujuan dalam mesyuarat yang diadakan secara sidang video bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri itu.

SIdang Darurat itu, jelas Perdana Menteri lagi, adalah yang pertama diadakan selepas Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bagi membincangkan hala tuju pengurusan darurat di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar, sidang bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang akan dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Undang-Undang (Datuk Takiyuddin Hassan), dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali),” katanya dalam kenyataan itu.

Jawatankuasa Teknikal itu, jelas Perdana Menteri lagi, mempunyai peranan untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan Darurat; serta meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian.

Selain itu, ia berperanan untuk menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri; dan mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

Muhyiddin berkata, jawatankuasaitu juga akan dianggotai oleh lapan ahli tetap iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.

“Insya-Allah, saya berharap agar jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan mendapat kerjasama dan sokongan di semua peringkat bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya lagi.