KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Rimbayan, Keningau, Sabah dan Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah bermula 2 sehingga 15 April 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 31 Mac, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 301 ujian saringan di Kampung Rimbayan dan daripada jumlah itu sebanyak 29 kes positif telah direkodkan.

Selain itu, sehingga 31 Mac 2021, KKM telah melaksanakan 12 ujian saringan DI Kampung Simpang 3A, Merotai Besar dan daripada jumlah itu sebanyak tujuh kes positif telah direkodkan manakala empat lagi masih menunggu keputusan.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di lokaliti terbabit," jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menjelaskan, hanya dua individu ditahan dan dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKPB dan PKPP di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Dua individu berkenaan dikompaun atas kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran.

Katanya lagi, Operasi Benteng telah menangkap 50 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua buah bot serta lima kenderaan barat.

Sebanyak 124 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

Sementara itu katanya, sebanyak 88 operasi sanitasi dilakukan meliputi 19 zon merah, enam zon jingga, 11 zon kuning dan lima zon hijau di seluruh negara.

Ujarnya lagi, seramai 2,950 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada Khamis dan daripada jumlah itu, 43 didapati positif.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 667,896 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 34,653 majikan.