KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja adalah wajar bagi melindungi kemuliaan, ketinggian dan peranan berkecuali institusi berkenaan.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata tidak sepatutnya timbul isu bahawa kerajaan mengambil tindakan untuk menunjukkan kuasa.

"Perkara itu (menghina institusi diraja) sudah melanggar garis sempadan apabila pihak istana sendiri yang mengambil tindakan seperti mana dalam beberapa kes yang berlaku di Selangor," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata menyeret institusi diraja dalam berpolitik jelas merupakan perbuatan melampaui batas kerana ia menerbitkan perpecahan yang mengeksploitasi emosi dan sentimen antara rakyat, lebih-lebih lagi sekiranya ia mencetuskan fitnah dan salah faham yang mengelirukan masyarakat.

Sehubungan itu, Mujibu berpendapat bahawa sudah tiba masanya satu undang-undang khas digubal bagi melindungi kedaulatan institusi diraja daripada disalah guna dalam berpolitik.

"Ini memandangkan ia semakin kerap berlaku apabila individu yang terlibat dengan politik seperti tidak mempedulikan titah Tuanku dan sembarangan melakukan perkara yang melampaui batas," katanya.

Penganalisis Politik dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir juga berkata kerajaan sememangnya wajar mengambil tindakan tegas dan harus dilihat serius dalam menangani isu melibatkan intitusi diraja.

"Kalau kita membenarkan mana-mana pihak menghina atau membuat kenyataan yang jelas tidak menghormati raja, ini menggambarkan rakyat kita ini rakyat yang tidak faham rukun negara dan tidak sesuai untuk menjadi rakyat di negara ini.

"Mana-mana negara pun, kalau di Thailand ada satu undang-undang iaitu 'lese-majeste' yang boleh dikenakan hukuman bertahun-tahun dalam penjara sekiranya terdapat individu yang mengancam dan menghina institusi diraja," katanya.

Beliau turut berkata pemimpin politik yang berkedudukan tinggi perlu menjaga tingkah laku dan kata-kata sekali gus memberi contoh yang baik kepada rakyat dan bukan mencetuskan tanggapan buruk terhadap institusi diraja.

"Apa yang penting, tindakan itu perlu tegas dan sesuai dalam peruntukan undang-undang untuk menjaga kepentingan institusi itu," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Dr G. Manimaran berkata Raja-Raja Melayu mempunyai kedudukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan dan sistem pentadbiran negara yang wajib dilindungi dan dipertahankan.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi mereka. Kalau kita tidak menghormati Raja-Raja Melayu, siapa lagi? Jadi, kita perlu berlaku adil kepada pihak yang tidak boleh mempertahankan diri mereka di mahkamah terbuka seperti Raja-Raja Melayu, begitu juga ketua kerajaan bertaraf Yang di-Pertua.

"Justeru dalam hal ini, ahli-ahli politik harus bijak dan kelihatan bijak dalam membangkitkan apa jua isu dan kita juga perlu berlaku adil dalam isu kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jadi, kita harus tahu batasan dan sempadan dalam berpolitik, jangan sampai menjatuhkan imej, reputasi, status dan maruah Raja-Raja Melayu," katanya.

Tambahnya semua pihak perlu tahu batas apabila membangkitkan isu khususnya berkaitan agama, raja dan kaum (3R) termasuklah isu berkaitan dengan Raja-Raja Melayu.

"Meskipun Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan mengenai kebebasan bersuara, tetapi kita perlu bijak menggunakan kebebasan yang diperuntukkan.

"Ramai membangkitkan mengenai Akta Hasutan tetapi pada masa sama kita ada undang-undang lain yang boleh digunakan jika kita membangkitkan isu tanpa asas, seperti undang-undang fitnah," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, berkata sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat menghina institusi diraja dibuat bagi mempertahankan kedaulatan institusi itu.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memberi keadilan kepada Raja-Raja yang mempunyai kedudukan tinggi melangkaui sempadan politik dan tidak wajar mereka diheret ke dalam kancah politik.

-- BERNAMA