KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menilai semula perbelanjaan dalam sektor lain yang kurang kritikal sekiranya penjimatan fiskal perlu dilaksanakan, tanpa mengorbankan sektor asas seperti kesihatan, susulan cadangan pemotongan sehingga RM3.06 bilion daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata sektor kesihatan awam merupakan keperluan asas yang perlu terus dilindungi, kerana sebarang pengurangan walaupun dilabel sebagai bukan kritikal, berpotensi menjejaskan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.
Advertisement
“Kesihatan awam tidak boleh dijadikan sasaran mudah untuk penjimatan fiskal. Ia pelaburan strategik negara dan kegagalan melindunginya akan membawa implikasi yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata ketelusan juga amat penting bagi membolehkan kerajaan menjelaskan secara terperinci skop pemotongan, garis masa pelaksanaan serta langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
Pada 30 April, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelarasan perbelanjaan mengurus yang dilaksanakan kerajaan, tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan asas rakyat termasuk rawatan, penjagaan kecemasan dan bekalan ubat-ubatan.
Dzulkefly berkata perkara yang dibincangkan ketika itu, hanyalah melibatkan cadangan pelarasan kepada perbelanjaan mengurus dan bukannya pemotongan muktamad, selain memberi jaminan perkhidmatan kesihatan asas, rawatan pesakit, penjagaan kecemasan serta bekalan ubat-ubatan tidak akan dikurangkan.
-- BERNAMA