Skip to main content

Politik

UMNO guna strategi "luar kotak" pikat pengundi muda, sedia kerjasama PRU16 - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUYR, 3 Mei -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemubual media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemu bual media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: UMNO akan menggunakan pendekatan “di luar kotak” termasuk kaedah komunikasi bukan lisan, bagi menarik sokongan pengundi muda yang kini merupakan kumpulan majoriti dalam landskap politik negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata hakikat itu perlu diterima, memandangkan pengundi berusia bawah 40 tahun, termasuk kumpulan pengundi 18 tahun (Undi18) bersifat lebih terbuka dan tidak lagi terikat kepada kesetiaan terhadap sesebuah parti semata-mata.

Advertisement

“Mereka sangat berfikiran terbuka dan mereka tidak memilih parti sebenarnya. Mereka memilih calon dan memilih siapa yang boleh membawa agenda untuk mereka garap. Ertinya apa yang dapat mereka peroleh daripada memilih calon-calon yang mereka minati,” katanya secara dalam sesi temu bual khas sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata strategi itu penting, memandangkan trend pengundian kini berubah dengan pengundi lebih cenderung menilai kualiti perkhidmatan dan personaliti calon, berbanding latar belakang organisasi politik yang diwakili.

Menyentuh strategi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), tidak menolak kemungkinan untuk bertanding secara “solo”, namun tetap membuka ruang kerjasama bagi mengelakkan pertindihan kerusi dengan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata realiti politik semasa, memperlihatkan sukar bagi mana-mana parti atau gabungan untuk muncul dominan dan membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa sokongan pihak lain.

“Sebab itu saya sebutkan tentang soal ‘solo’ tadi, (saya) tidak menolak untuk kita bekerjasama supaya tidak berlaku pertindihan kerusi, walaupun kita pergi solo. Dalam soal ini, bukan kita menolak mana-mana parti gabungan ya,” katanya.

Mengambil iktibar daripada situasi Parlimen tergantung selepas PRU15, Ahmad Zahid menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai realiti yang perlu diterima demi kestabilan negara, meskipun pada awalnya wujud pelbagai persepsi terhadap kerjasama itu.

“Perkara sebegini mungkin akan berlaku lagi dan saya tidak nampak yang dalam PRU16 ada mana-mana parti gabungan itu dominan dan boleh membentuk kerajaan sendiri. Itu hakikat yang harus kita akui,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video