KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggambarkan tindakan kerajaan sebagai satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.

Justeru, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan susulan melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada baginda dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dalam masa sama turut menggesa Ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin seperti diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi parti itu pada 7 Julai lalu.

"Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

"Ternyata pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada hari Isnin, 26 Julai lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Malah, Istana Negara juga mendedahkan bahawa kerajaan dengan sengaja ingkar dan melanggar titah Tuanku yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

"UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan yang dipimpin Muhyiddin terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," tegasnya.

 
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki

Istana Negara hari ini mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai.

"Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran Perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

BACA: Agong zahir dukacita, pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda

Pada 26 Julai lalu, Takiyuddin dalam Mesyuarat Khas Parlimen berkata, kerajaan memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Menurut beliau, kerajaan juga bersetuju untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat sebelum ini.

“Saya ingin mengesahkan pada hari ini, di dalam dewan ini, saya tertakluk kalau saya cakap tidak benar bahawa Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat bila tamat pada 1 Ogos 2021," kata Takiyuddin.

BACA: Mesyuarat Khas Parlimen: Kerajaan putuskan tidak nasihat Agong untuk isytihar darurat baharu