Skip to main content

Malaysia

Kerana air, lelaki tergamak tikam rakan dan bakar motosikal

Sumber: Astro AWANI
Seorang lelaki cedera apabila ditikam di tangan oleh rakannya dipercayai akibat bergaduh di tepi jalan di Singkir Badong, Singkir, Yan, pada petang Isnin. - Gambar media sosial

YAN: Seorang lelaki cedera apabila ditikam di tangan oleh rakannya dipercayai akibat bergaduh di tepi jalan di Singkir Badong, Singkir, di sini, pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Yan,,Superintendan Mohamad Harmizi Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa berusia 34, yang sedang menunggang motosikal jenis Honda dihampiri oleh rakannya berusia 41, dengan tiba-tiba memarahinya kerana tidak puas hati kerana mangsa membaiki semula kerosakan saliran paip air bukit yang dibina hasil daripada kutipan wang penduduk kampung.

Advertisement

“Bagaimanapun, pertengkaran itu bertukar ganas apabila suspek mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam mangsa sebelum berlaku pergelutan.

"Dalam pergelutan itu mangsa mengalami kecederaan dipergelangan tangan akibat ditikam pisau yang dilibas suspek.

"Mangsa kemudian lari menyelamatkan diri dan meninggalkan motosikalnya di tepi jalan. Suspek kemudian mencabut paip petrol pada enjin motosikal mangsa lalu membakarnya,” katanya ketika dihibungi Astro AWANI, pada Selasa.

Mohamad Harmizi berkata, mangsa yang dibantu orang awam telah dibawa ke Hospital Yan untuk menerima rawatan.

Katanya, mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis pada malam tadi.

Bertindak atas laporan itu Mohamad Harmizi berkata, pihaknya kemudian berjaya menahan suspek pada pukul 8 malam tadi di rumahnya di Kampung Singkir Darat serta merampas sebilah pisau yang digunakan dalam kejadian itu.

"Ujian saringan air kencing suspek positif dadah dan semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek kini dalam proses untuk direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324/435 Kanun Keseksaan," katanya.

Must Watch Video