Bayi lelaki 20 bulan yang menghidap penyakit Short Bowel Syndrome (usus pendek), Muhammad Izzsyraq Azraq atau lebih mesra dengan nama Izz yang sudah lebih setahun 'menghuni' Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini mengharap doa orang ramai semoga segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan biasa seperti bayi lain di luar sana.

Bapanya, Mohd Khizrul Rhizan Mohd Riduan berkata, anaknya sudah menjalani lebih 11 pembedahan sejak November tahun lalu melibatkan ususnya.

"Hasil pembedahan pertama mendapati usus Izz terbelit dan sudah nampak kehitaman kerana tiadanya aliran darah.

"Pembedahan seterusnya adalah membuang usus kecil Izz yang disahkan telah mati dan tidak berfungsi. Menurut pakar hanya 5 sentimeter (sm) usus kecil Izz yang benar-benar sihat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Mohd Khizrul, pembedahan susulan adalah memasukkan tiub Central Venous Line (CVL)
ke dada Izz dimana tiub berkenaan akan disambungkan terus ke salur darah berhampiran dengan jantungnya.

"Ia bertujuan pemberian Nutrisi Parenteral (TPN). Tiub CVL disambung di bahagian kanan dada Izz.

"Selepas beberapa siri pembedahan memasukkan CVL, pakar mengesyorkan kaedah baru iaitu Chemoports namun doktor harus menukar penggunaan jarum Chemoports setiap minggu," ujarnya.



Bayi pengidap penyakit usus pendek, Izz sudah lebih setahun 'menghuni' Wad Pediatrik HKL - Gambar Facebook


Katanya lagi, doktor kini memberikan cadangan 'Plan 2014' iaitu pembedahan untuk memisahkan usus kecil daripada usus besar dan menyambungkan usus kecil Izz menggunakan tiub dan mengeluarkannya melalui perut.

"Apabila makanan dan minuman diberikan, tiub berkenaan akan ditutup dan dibiarkan makanan serta minuman dalam usus berkenaan selama empat jam.

"Selepas empat jam, tiub akan dibuka semula untuk membuang lebihan makanan dan minuman tersebut.

"Tujuannya adalah untuk mengembangkan usus kecil Izz dan perut pula akan disalurkan dengan satu tiub lagi untuk proses beri makanan dan minuman seandainya apa yang Izz makan melalui mulut kurang daripada yang sepatutnya," ujarnya.

Walaupun risau dengan 'Plan 2015' yang dijangka berisiko, apa yang diharap Mohd Khizrul adalah keajaiban tuhan dan doa orang ramai untuk kejayaan pembedahan berkenaan.

"Saya percaya, doktor sudah memikirkan segala-galanya. Bila saya bertanya kepada doktor tentang risiko pembedahan, doktor cuma membalas, 'semua pembedahan ada risikonya, perlu dibius dan sebagainya....cuma pembedahan kedua itu dikhuatiri ususnya akan bocor, itu sahaja," katanya.

Orang ramai juga boleh membaca kisah Izz dan memberi sokongan di laman Facebook; PRAY for Izzsyraq Azraq - Short Bowel Syndrome atau blog peribadi Mohd Khizrul di http://ekjozbuluh.blogspot.com/.



Laman Facebook PRAY for Izzsyraq Azraq - Short Bowel Syndrome - Gambar Facebook